BISNES DAN DAKWAH

Jumaat, 25 Disember 2015

PERMULAAN PERJALANAN DAKWAH

Teks : Zubedah Jaafar
Foto : Goggle


BISMILLAH...

Proses mengenali bahawa adakah kita layak menggelar diri sebagai pendakwah atau tidak sebenarnya berlaku secara alami dalam diri semua insan. 


Kita takkan mampu menjadi pendakwah jika kita hanya melihat sudut dakwah itu dalam satu ruang lingkup kecil. Harus digelar ustaz,imam, bilal, dan belajar sekolah atau keluar dari universiti dalam bidang agama sahaja baru boleh jadi pendakwah.

Semua pernyataan dan anggapan itu tidak benar sama sekali.

Imam hassan al-basri pernah berkata :

"Sesungguhnya aku sedang menasihati kamu bukanlah beerti aku yang terbaik di kalangan kamu, bukan juga yang paling soleh di kalangan kamu, kerana aku juga pernah melampaui batas pada diri sendiri, seandainya seseorang itu hanya dapat menyampaikan dakwah apabila dia sempurna nescaya tidak akan ada pendakwah.
Maka akan jadi sikitlah orang yang akan memberi peringatan"

Kata-kata ini besar maknanya pada saya untuk memulakan proses perjalanan dunia baru sebelum Allah menjemput kembali.

Dalam proses saya menilai diri,mengenali matlamat hidup saya tersentap lagi apabila di beri petunjuk Allah untuk membaca buku Allah loves Me, karya Jerry D Gray.



Tuan Jerry ini seorang warga Amerika yang diberi hidayah oleh Allah masuk Islam sesudah mengalami pelbagai ranjau dan ujian dari Allah. Kata-kata yang paling saya ingati ialah " Allah telah menyediakan plan Nya untuk saya dari semua ini". 


Begitulah yang berlaku dalam kehidupan saya. Walau saya dilahirkan dalam agama Islam kita selalunya tidak mengamalkan Islam sebagai cara hidup kita yang menyeluruh. Kita hanya belajar kewajipan wajib dan selalu mengambil ringan hal-hal kecil. 

Khutbah terakhir Rasulullah sudah mengingatkan kita akan hal yang akan terjadi di akhir zaman.

"Berwaspadalah terhadap syaitan demi keselamatan agama kamu. Dia telah berputus asa untuk menyesatkan kamu dalam perkara-perkara besar, maka berjaga-jagalah supaya kamu tidak mengikutinya dalam perkara-perkara kecil.

Saya seorang yang terlalu suka ingin menonjol sehingga sentiasa melibatkan diri dalam aktiviti nyanyian,tarian, persembahan muzik dan pelbagai aktiviti kebudayaan sedangkan Allah telah tetapkan ia tidak bersesuaian dengan fitrah saya. Alhamdulillah, semua aktiviti itu kandas di tengah jalan dan akhirnya saya banyak dibantu Allah dalam aktiviti kepimpinan islami seperti menjadi AJK Ibadah dan diberi peluang menjadi Imam dikalangan jemaah wanita. 

Namun, konflik jiwa,dorongan nafsu,hasutan syaitan tidak akan pernah berhenti bermain dalam diri kita. Semua proses ini mengalami naik turun. Almaklum ayat yang selalu saya gunakan ialah ' Iman kita iman orang awam'. 

Akhir-akhir ini bila anak-anak semakin membesar dan perkembangan kehidupan sosial di luar yang amat menakutkan menyebabkan saya perlu mengambil sikap untuk total berubah. Pembentukan akhlak dan sahsiah anak-anak harus dimulai dari kita sebagai ibu bapa. Perjuangan dakwah harus diteruskan. Paling kurang menyelamatkan anak-anak saya dari pengaruh sosial negatif dan untuk konsisten dalam perjalanan ini saya harus menyelami jiwa dakwah setiap hari samaada dalam percakapan,pergaulan mahupun penulisan. 

Perkongsian dakwah harus diteruskan walau sesukar mana proses mujahadah ini akan disulami ujian dan cabaran. Sudah namanya manusia,pasti akan ada yang suka dan juga yang membenci. 

Rasulullah pernah berpesan,

“sampaikanlah dariku walau hanya sepotong ayat”

Masih banyak lagi kekurangan yang perlu diperbaiki dalam proses ini. Sambil menyampai sambil terus belajar memperbaiki diri dengan guru-guru yang berpengalaman, membaca pelbagai jenis buku dakwah dan mendengar ceramah-ceramah dan pesanan agama. 

Semoga usaha kecil ini dinilai besar oleh Allah dalam persiapan kita menghadapi hari pengadilan di hadapan mahkamah Allah kelak. 


Tiada ulasan:

Catat Ulasan