BISNES DAN DAKWAH

Jumaat, 11 Disember 2015

PERJALANAN SEORANG USAHAWAN BAHAGIAN 1

Pengenalan Diri

Teks : Zubedah Jaaafar
Foto : Google

Bismillahirrahmanirrahim
Segala Puji hanya Layak buat Allah yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang,
Selawat dan Salam buat junjungan Nabi Muhammad SAW


Assalamualaikum dan Salam Sejahtera buat semua sahabat muslim dan bukan muslim di luar sana.Dengan izin Allah jua saya sangat bersyukur kerana dapat mengumpul kekuatan untuk mula menulis dengan lebih formal berbekal bantuan dari Puan Anys Idayu Zakaria dari Akademi ABDR.

Saya Zubedah Jaafar yang lebih dikenali sebagai ZueJaafar Usahawan di alam maya terutama di FB kerana saya selalu aktif menulis disana. Saya mengambil langkah untuk secara serius menulis blog kerana ingin berkongsi pengalaman hidup serta jatuh bangun  dalam membina legasi perniagaan terutamanya dalam perniagaan  emas yang sedang saya ceburi sekarang.

Saya anak kesembilan dari keluarga besar 10 orang adik beradik. Awalnya saya mempunyai 4 orang kakak, 4 orang abang dan seorang adik lelaki. Namun seorang abang saya dijemput awal oleh Allah diwaktu usia saya 16 tahun akibat komplikasi asma. Kami dibesarkan dalam keluarga yang serba kekurangan di Kg Gajah,Perak tetapi Allah sentiasa mencukupkan rezeki dengan usaha keras ayah menjalankan bermacam-macam kerja kampung. Saya sebagai anak bongsu perempuan sentiasa mendapat manjaan sepenuhnya kerana kakak dan abang sudah besar. Mereka sentiasa membantu memudahkan keperluan emak dan ayah dalam menjaga keperluan adik-adik. 

Dari kecil saya memang seorang anak yang tak tahu duduk diam. Walau semasa darjah 1 hanya saya seorang di dalam kelas yang tidak menjejakkan kaki ke kelas tadika tetapi saya selalu bersaing dengan cemerlang bersama rakan-rakan sekelas yang lain. Kerana selalu bersedia menghadapi pelbagai cabaran, hanya saya seorang yang mengambil langkah untuk berpindah ke asrama desa yang agak jauh dari kampung semasa darjah 5. Semua cabaran-cabaran ini sebenarnya adalah persiapan untuk saya dari Allah demi menghadapi ujian yang lebih besar dalam hidup.



Pengalaman dalam mencari peluang bisnes bermula sejak saya di sekolah menengah lagi. Moto 'tidak lalu duduk diam' selalu saya jadikan alasan untuk membuat pelbagai kerja dalam satu masa. Menyambung tinggal di asrama di Sekolah Menengah Gunung Rapat,Ipoh melebarkan lagi peluang saya untuk mula berbisnes kecil-kecilan. Seorang kakak saya yang juga tinggal di Ipoh membantu menyediakan bekalan pelbagai jenis makanan segera untuk saya jual dikalangan rakan-rakan asrama.
Namun,kecetekan ilmu bisnes dan pengurusan kewangan menyebabkan bisnes saya hanya mampu bertahan beberapa bulan. Modal entah kemana,untung entah kemana.


Tidak serik dengan kegagalan pertama, sementara menunggu keputusan SPM saya mengisi masa lapang dengan menjual Air Batu Campur ( ABC ) di depan rumah. Kali ini saya cuba sehabis baik menjaga aliran tunai dan sebulan sahaja berniaga saya berjaya mengumpul RM300 untung bersih walaupun jualan ABC ada turun naiknya. Saya pasti semua peniaga air pasti merasai perit maung ini. Proses pengalaman berniaga seperti inilah yang selalu membuat saya menghargai peniaga-peniaga pasar malam,peniaga kaki lima dan peniaga kecil. Semangat dan kekuatan luar biasa diperlukan untuk bertahan dan menghadapi cabaran untuk terus berjaya dalam perniagaan.


Setelah ditawarkan mengikuti pengajian matrikulasi UPM di Kelantan, saya mula melupakan keinginan untuk berniaga dalam diri. Setahun setengah di Kelantan, semangat berniaga wanita-wanita Kelantan terus tenggelam dalam diri saya apabila saya berazam untuk mengambil jurusan paling diidamkan oleh semua orang di matrik pada waktu itu iaitu BioMedic. Kita hanya merancang,perancangan Allah lebih baik. Sewaktu pemilihan jurusan mahu dibuat, bidang BioMedic tidak ditawarkan. Saya sangat kecewa dan melakukan istikharah sekali lagi lalu memilih jurusan yang jauh dari bidang yang saya minati iaitu biologi dengan mengambil Jurusan Sains Komputer.
Proses pembelajaran di UPM berjalan lancar.Saya dikurniakan Ijazah Sains Komputer pada tahun 2002 namun melangkah sukar dalam mencari pekerjaan yang sesuai dengan bidang yang dipelajari. 
Sepanjang tempoh menganggur, saya memohon menjadi guru sandaran dan mengambil kursus pendek IT yang ditawarkan elaun oleh kerajaan. Alhamdulillah,selesai kursus pendek IT selama 3 bulan, saya ditawarkan menjadi guru sandaran di Sekolah Kebangsaan Sungai Itek,Gopeng Ipoh.


Semasa tahun akhir pengajian, saya berkenalan dengan suami melalui online. Kisah perkenalan ini agak menarik dan seperti drama TV. hehe. Inshaa Allah,ada rezeki akan saya jadikan pengisian pada satu entri lain. Alhamdulillah,berbekal ilmu agama yang Allah beri melalui asuhan emak dan ayah, saya jenis manusia yang tak mengamalkan konsep 'dating', perlu perkenalan lama  baru berkahwin. Allah juga mentaqdirkan saya dapat bertemu suami melalui online yang pada masa itu terlalu baru bagi remaja dengan hanya ada IRC dan Yahoo Mesenger. Perkenalan online itu mengikat saya dengan tali pertunangan selama setahun usai pengajian di UPM. kami berkahwin semasa saya sedang menjadi guru sandaran di SK Sungai Itek dan saya berhenti kerana mengikut suami yang bekerja di Kuala Lumpur. 

Keadaan dan situasi sebenar yang dialami akan banyak mengubah seluruh perjalanan hidup kita. Dari meminati biologi, belajar Sains Komputer dan akhirnya menjadi guru, segalanya ujian dan cabaran sebenarnya baru bermula buat saya.Banyak lagi liku-liku yang ditempuh bermula selepas saya berkahwin dan cuba mencari peluang yang sesuai dengan jiwa dalam dunia pekerjaan dan PERNIAGAAN.

Terima kasih kerana sudi membaca.
Terus mengikuti entri seterusnya. 
Semoga bertemu lagi......

Tiada ulasan:

Catat Ulasan