BISNES DAN DAKWAH

Selasa, 29 Disember 2015

EMAS-BELI,SIMPAN DAN NIAGAKAN

Assalamualaikum....

Apa khabar ibu-ibu yang semakin sibuk dengan persiapan persekolahan anak?

Saya juga sama seperti anda. Namun dalam kesibukan itu saya cuba juga cari masa 'update' blog demi komitmen saya untuk terus menulis.

Disini saya kongsikan RAHSIA TOKEY EMAS dari mentor usahawan yang membawa saya untuk terus yakin seperti sekarang. Terima Kasih tuan Mustafa Robani.

Ilmu ini bukan semua orang tahu. Rugi jika tak baca!!



šŸ’„RAHSIA TOKEY EMASšŸ’„

Secara amnya kebanyakan tokey kedai emas mengamalkan formula 3P 

iaitu Penyimpan, Pelabur dan Peniaga.

Mereka menyimpan emas kemudian mereka juga bertindak sebagai pelabur dengan membeli semasa harga emas rendah dan mengaut keuntungan bila harga emas naik bila menjual emas tersebut kepada pelanggan.

Di sini mereka menyimpan, melabur sambil berniaga. Maksudnya mereka menyimpan sesuatu barang/benda untuk kepentingan mereka sendiri (malah nilai benda yang disimpan sentiasa meningkat) disamping menjualnya kepada orang ramai jika ada permintaan.

Kebanyakan orang bercita cita untuk menjalankan perniagaan sendiri kerana kita sering mendengar hadis yang mengatakan 9/10 rezeki adalah dari bidang perniagaan. Namun tidak ramai yang ‘mampu’ menikmatinya atas pelbagai alasan. Ramai yang ingin mencapai ‘financial freedom’ tetapi tidak sanggup membayar ‘harga’nya.
Ramai yang mencari jalan mudah, ringkas dan cepat. Mereka cukup taksub dengan konsep 4D (Duduk Diam Dapat Duit). Malah saya sendiri sering ditanya soalan seperti berikut:

"Kalau saya beli emas dengan syarikat puan boleh jadi kaya ke?”
”Berapakah pendapatan bulanan saya jika saya membeli RM 10K emas fizikal”.

Setahu saya tiada seorang pun jutawan tulen di Malaysia yang mencapai tahap jutawan dengan cara begitu mudah.
Bagi saya, selidik dengan teliti sebelum menyertai mana-mana peluang perniagaan atau pelaburan. Jangan pandang pada janji-janji manis tetapi pandang pada fakta-fakta yang sahih melalui kajian. Untuk formula 3 P yang diamalkan oleh tokey-tokey kedai emas iaitu penyimpan, pelabur dan peniaga saya sarankan anda menyelami maksud yang tersurat dan tersirat apa yang di maksudkan dengan

“kita menyimpan sesuatu barang/benda yang sentiasa meningkat nilainya kemudian menjualnya kepada orang lain bila ada permintaan”.

Inilah dinamakan Laba Emas
Salah satu barang/benda yang menepati kata kata di atas adalah emas fizikal kerana emas tiada tarikh luput atau ‘expiry date’ malah semakin lama di simpan semakin tinggi nilainya.
Patutlah emas dan perak di kenakan zakat. Malah dalam Al Quran, banyak ayat yang menyentuh perihal emas dan perak. Tingginya darjat emas bukan di dunia malah di syurga penghuninya juga di anugerahi dengan emas.

Berbalik kepada kisah rahsia tokey emas tadi, kalau emas yang mereka miliki tidak terjual sekali pun mereka tidak akan rugi kerana emas yang mereka miliki dianggap sebagai simpanan/aset untuk masa depan yang nilai sentiasa meningkat.




Ada yang mengeluh

“siapa nak beli emas kerana harganya yang makin mahal”.

Betul harga emas memang mahal dan akan bertambah mahal dari hari ke hari namun orang tetap membelinya terutama mereka yang celik emas. Perhatikan kedai kedai emas lain semakin banyak dan tidak pernah tutup walaupun pelanggannya tidak lah seramai pelanggan yang mengunjungi pasar malam.


Semoga jadi Amalam..BELI SIMPAN dan NIAGAKAN..(BSN)



Jumaat, 25 Disember 2015

PERMULAAN PERJALANAN DAKWAH

Teks : Zubedah Jaafar
Foto : Goggle


BISMILLAH...

Proses mengenali bahawa adakah kita layak menggelar diri sebagai pendakwah atau tidak sebenarnya berlaku secara alami dalam diri semua insan. 


Kita takkan mampu menjadi pendakwah jika kita hanya melihat sudut dakwah itu dalam satu ruang lingkup kecil. Harus digelar ustaz,imam, bilal, dan belajar sekolah atau keluar dari universiti dalam bidang agama sahaja baru boleh jadi pendakwah.

Semua pernyataan dan anggapan itu tidak benar sama sekali.

Imam hassan al-basri pernah berkata :

"Sesungguhnya aku sedang menasihati kamu bukanlah beerti aku yang terbaik di kalangan kamu, bukan juga yang paling soleh di kalangan kamu, kerana aku juga pernah melampaui batas pada diri sendiri, seandainya seseorang itu hanya dapat menyampaikan dakwah apabila dia sempurna nescaya tidak akan ada pendakwah.
Maka akan jadi sikitlah orang yang akan memberi peringatan"

Kata-kata ini besar maknanya pada saya untuk memulakan proses perjalanan dunia baru sebelum Allah menjemput kembali.

Dalam proses saya menilai diri,mengenali matlamat hidup saya tersentap lagi apabila di beri petunjuk Allah untuk membaca buku Allah loves Me, karya Jerry D Gray.



Tuan Jerry ini seorang warga Amerika yang diberi hidayah oleh Allah masuk Islam sesudah mengalami pelbagai ranjau dan ujian dari Allah. Kata-kata yang paling saya ingati ialah " Allah telah menyediakan plan Nya untuk saya dari semua ini". 


Begitulah yang berlaku dalam kehidupan saya. Walau saya dilahirkan dalam agama Islam kita selalunya tidak mengamalkan Islam sebagai cara hidup kita yang menyeluruh. Kita hanya belajar kewajipan wajib dan selalu mengambil ringan hal-hal kecil. 

Khutbah terakhir Rasulullah sudah mengingatkan kita akan hal yang akan terjadi di akhir zaman.

"Berwaspadalah terhadap syaitan demi keselamatan agama kamu. Dia telah berputus asa untuk menyesatkan kamu dalam perkara-perkara besar, maka berjaga-jagalah supaya kamu tidak mengikutinya dalam perkara-perkara kecil.

Saya seorang yang terlalu suka ingin menonjol sehingga sentiasa melibatkan diri dalam aktiviti nyanyian,tarian, persembahan muzik dan pelbagai aktiviti kebudayaan sedangkan Allah telah tetapkan ia tidak bersesuaian dengan fitrah saya. Alhamdulillah, semua aktiviti itu kandas di tengah jalan dan akhirnya saya banyak dibantu Allah dalam aktiviti kepimpinan islami seperti menjadi AJK Ibadah dan diberi peluang menjadi Imam dikalangan jemaah wanita. 

Namun, konflik jiwa,dorongan nafsu,hasutan syaitan tidak akan pernah berhenti bermain dalam diri kita. Semua proses ini mengalami naik turun. Almaklum ayat yang selalu saya gunakan ialah ' Iman kita iman orang awam'. 

Akhir-akhir ini bila anak-anak semakin membesar dan perkembangan kehidupan sosial di luar yang amat menakutkan menyebabkan saya perlu mengambil sikap untuk total berubah. Pembentukan akhlak dan sahsiah anak-anak harus dimulai dari kita sebagai ibu bapa. Perjuangan dakwah harus diteruskan. Paling kurang menyelamatkan anak-anak saya dari pengaruh sosial negatif dan untuk konsisten dalam perjalanan ini saya harus menyelami jiwa dakwah setiap hari samaada dalam percakapan,pergaulan mahupun penulisan. 

Perkongsian dakwah harus diteruskan walau sesukar mana proses mujahadah ini akan disulami ujian dan cabaran. Sudah namanya manusia,pasti akan ada yang suka dan juga yang membenci. 

Rasulullah pernah berpesan,

“sampaikanlah dariku walau hanya sepotong ayat”

Masih banyak lagi kekurangan yang perlu diperbaiki dalam proses ini. Sambil menyampai sambil terus belajar memperbaiki diri dengan guru-guru yang berpengalaman, membaca pelbagai jenis buku dakwah dan mendengar ceramah-ceramah dan pesanan agama. 

Semoga usaha kecil ini dinilai besar oleh Allah dalam persiapan kita menghadapi hari pengadilan di hadapan mahkamah Allah kelak. 


Khamis, 24 Disember 2015

BERNIAGALAH SEKALIPUN TELAH KAYA

Teks: Zubedah jaafar
Foto : Google

Assalamualaikum,

Rasanya belum terlewat untuk saya mengucapkan Salam Maulidur Rasul buat semua umat islam di seluruh dunia. mahupun bagi yang belum memeluk islam. Semoga sinaran purnama Nabi Muhammad S.A.W akan menjadi asbab hidayah buat mereka.

Banyak yang belum saya kongsikan berkaitan hidup saya dalam membina jaringan persahabatan melalui online. Saya akan lebih fokus kepada berkongsi tentang bisnes dan dakwah kerana minat dan kekuatan yang akan saya terus bina dalam jiwa saya sehingga akhir hayat adalah dalam dua bidang ini.

BISNES

Bila dibaca dari entri awal memang asal nya ayah saya seorang yang suka berbisnes kecil-kecilan. kerja rencam yang dilakukan untuk membesarkan kami 10 beradik adalah dengan menarik beca dan menjual Air Batu Campur disamping menguruskan kebun dan menjual hasil-hasil kebun.

Lama kelamaan,hasil dari simpanan sedikit-demi sedikit,beliau membeli banyak tanah untuk dibuat kebun. Pisang,durian dan sayur-sayur kampung mudah didapati di kebun dan dijadikan hasil jualan yang agak lumayan.

Sikap ini terbawa-bawa kepada anak-anak. Dimana semasa kecil lagi kami selalu menjual kuih di hadapan rumah apabila tiba ramadhan, menjual ABC, menjual buah-buahan tempatan dan apa saja yang mampu menghasilkan pendapatan sampingan.

35 tahun baru saya sedari keupayaan diri saya yang selalu menjalankan perniagaan secara separuh masa adalah hasil dari asuhan ini.




Kita merancang Allah merancang. Perancangan Allah itu adalah perancangan yang paling terbaik. Walau terjunnya saya dalam dunia usahawan jauh berbeza dari perancangan wanita-wanita lain yang mempunyai persediaan rapi dari segi mental dan fizikal dalam memikirkan perihal meletak jawatan dan memilih untuk berniaga, tiada istilah penyesalan dalam saya menerima taqdir ini.

Buat pertama kalinya, saya tidak pernah terfikir untuk memutar balik perjalanan kerjaya saya untuk memohon kerja kerajaan atau badan swasta. Saya bersemangat untuk berjuang bersama rakan seperniagaan saya sehingga kami mencapai kejayaan yang diinginkan dalam proses membina legasi perniagaan.

'NO REGRET,NO SURRENDER'



KENAPA BISNES?
peniaga yang bebas
Perkara pertama saya pelajari selama setahun sepenuh masa berbisnes ialah tahap pergantungan pada makhluk hapus sama sekali. Allah penguasa maha kaya tempat orang bisnes meminta, mengadu dan mengharap. Memohon agar dibantu dalam setiap kejatuhan, dan jangan lagi tersalah jalan dalam setiap kebangkitan. 
Benar kata orang, orang bisnes bebas menyusun hidup mereka sendiri. Tanpa ramai yang sedar, kebebasan itu harus diatur dengan baik. Bebas untuk tidur di pejabat 24 jam bagi memikirkan solusi masalah yang hadir setiap hari,bebas untuk menjadi apa yang kita perlu jadi demi kelansungan bisnes. Kita la bos,kuli,pencuci pejabat,penghantar surat dan kita ibarat pelakon yang hebat dalam drama kita sendiri. 
Namun, faktor inilah yang menjadikan bisnes itu pekerjaan yang hebat. Orang bisnes bebas dari konkongan hidup biasa-biasa. Melakukan ritual harian yang akhirnya membosankan dan mengurangkan kualiti pekerjaan seharian. 
Perasaan takut dipantau, melakukan kerja hanya atas arahan dan terpaksa adalah suatu kepuasan yang jauh berbeza dalam bisnes. Bisnes adalah kualiti. Bila kita melakukan dengan jalan yang terbaik,hasilnya pasti terbaik. 
Sudah pasti, dalam keadaan ekonomi Malaysia yang tidak menentu, faktor celik bisnes ini semakin menular di kalangan orang melayu. Kerana itu saya mengambil keputusan untuk menulis. Berkongsi pengalaman dalam dunia kecil bisnes ini sambil terus belajar dengan mentor-mentor bisnes hebat melalui pembacaan blog,perkongsian fb dan menghadiri seminar-seminar. 

Apa kaitan pula dengan DAKWAH?
Jumpa di entri berikutnya.....
Senyum Selalu....

Rabu, 23 Disember 2015

5 Fakta Sebenar Tentang Bisnes Emas

Teks : Zubedah Jaafar
Foto dan Sumber : Google


Mengapa emas begitu berharga?


Tidak dinafikan propaganda berkaitan kehebatan emas ini sudah dicetak dalam minda manusia sejak zaman berzaman. Dalam sejarah panjang umat manusia, diceritakan bahawa emas sudah mulai dikenal manusia sejak 40.000 sebelum masihi, iaitu zaman manusia Paleolitik. Sejarah juga menunjukan bahawa sejak ribuan tahun sebelum masihi emas sudah dijadikan perhiasan dan alat tukar dalam banyak peradaban kuno.
Sehingga pada zaman permulaan Islam, emas sudah menjadi sebahagian dari masyarakat dunia, dan dalam Islam emas menjadi sebahagian dari matawang yang disebut dengan dinar dan dirham. Dinar dalam bentuk emas, dan dirham dalam bentuk perak. Hal ini banyak disebut-sebut dalam hadits dimana ketika Rasulullah SAW mendengarkan suatu pertanyaan atau memutuskan suatu perkara.
Misalnya: Dari Abu Hurairah RadhiyallĆ¢hu ‘Anhu. berkata, Rasulullah SAW bersabda: “dinar (harta) yang kamu belanjakan di jalan Allah dan dinar (harta) yang kamu berikan kepada seorang budak wanita, dan dinar yang kamu sedekahkan kepada orang miskin serta dinar yang kamu nafkahkan kepada keluargamu. Maka yang paling besar ganjaran pahalanya adalah yang kamu nafkahkan kepada keluargamu” (HR Shahih Muslim 1661).

Namun begitu, disebabkan emas sebagai matawang telah digantikan posisinya oleh wang kertas maka emas sekarang dijadikan sebagai perniagaan dan alat pelaburan yang bernilai tinggi.

Walaupun begitu, disebabkan kehebatan emas ini ramai orang Melayu amnya tidak berani mengambil risiko untuk menjadikan emas sebagai perniagaan. Perniagaan emas banyak dimonopoli oleh orang Cina dan India. Orang Melayu pula kebanyakannya adalah dari negeri Timur Malaysia iaitu Kelantan dan Terengganu.



5 Fakta sebenar tentang bisnes emas


Berdasarkan pengalaman 5 tahun saya berkecimpung dalam perniagaan emas, ini adalah fakta sebenar yang saya dapat kongsikan untuk membuka mata anda semua berkaitan bisnes emas :

1. Bisnes emas sama juga dengan apa jua bisnes produk lain. Ia tidak memerlukan modal yang besar untuk bermula. Ada kedai-kedai emas yang membuka peluang bisnes 'dropship' samaada secara PERCUMA atau dengan modal minima sebagai syarat keahlian. Sebagai contoh : Kedai Emas EET di Cheras, menawarkan peluang 'dropship' hanya serendah RM250 dengan mendapat GB999.9 1g percuma. Dengan keahlian ini, peniaga boleh memulakan perniagaan emas tanpa kedai secara separuh masa atau sepenuh masa. 



2. Modal untuk membuka sebuah kedai emas juga sebenarnya tidak jauh berbeza dari membuka sebuah butik atau sebuah kedai makan. Ramai yang tidak tahu modal membuka kedai emas lebih kecil dari modal membuka franchise sebuah makanan segera. Apa yang menarik dan berbeza dari perniagaan lain ialah kedai emas tidak hanya menawarkan sebuah produk untuk jualan malah menakjubkan modal kedai emas adalah sebuah aset jika tiada jualan. Peniaga emas masih menyimpan nilai modal anda dalam bentuk EMAS. Menarik kan??


3. Bersamaan dengan fakta nombor 2, menjadi penyebab kenapa saya kekal menjual emas hampir 5 tahun berbanding produk lain seperti tudung dan produk kesihatan. Apabila menjual produk, ianya perlu dihabiskan untuk menjana pendapatan. Jika tidak habis,produk menjadi stok yang tidak terjual. Berlawanan dengan emas. Tanpa jualan anda boleh menjadikan emas sebagai simpanan masa hadapan. Bila sesak, boleh tukarkan dengan wang melalui pajakan dan tebus semula bila sudah ada wang. 





4. Takut bisnes emas kerana berisiko tinggi. Emas adalah satu medium bisnes halal yang memerlukan keberanian untuk menjual. Jika terlalu berat memikirkan risiko maka semua apa yang kita buat adalah risiko. Baru-baru ini, bila kumpulan saya bermesyuarat bersama satu yayasan di Terengganu, Dato pengarahnya berkata menjual ganja juga berisiko. Jual ganja takut polis, jual emas takut pencuri. Yang membezakannya hanya HALAL dan HARAM. Maka, tepuk dada tanya iman. 



5. Sukar untuk menjual emas kerana harganya MAHAL. Zaman ini pelbagai cara kreatif dilakukan supaya ramai orang boleh menjual emas dengan modal minima. Antaranya dengan mula menjual hanya sekecil 1 gram. Jika sekarang ramai wanita boleh membeli baju atau tudung dengan harga beratus-ratus ringgit,masakan tidak boleh membeli emas yang boleh dijual kembali dengan harga serendah rm200? 
Hanya perlu diberikan kesedaran simpanan emas sebagai aset. Bila dibina kesedaran, menjual emas amat mudah dilakukan untuk pembeli-pembeli yang kini semakin bijak berfikir. 


Ahad, 20 Disember 2015

PELAJARAN DARI SEBUAH KEMATIAN

Teks : Zubedah Jaafar
Foto : Google

Beberapa hari ini kita dikejutkan dengan berita seorang ustaz bersama isteri dan 3 anaknya meninggal di bawa arus deras air terjun sewaktu bercuti. Peristiwa menyayat hati ini mana mungkin tidak menjadi satu episod penting dalam hidup kita tentang sebuah persediaan menghadapi pengakhiran hidup kita juga. 



Dalam proses kehidupan melalui pelbagai halangan dan cubaan,saya pasti bukan sahaja anda malah saya sendiri selalu tertanya-tanya tentang bagaimanakah kita mahu hidup kita berakhir?


Semua persoalan ini selalu diabaikan sebab bila kita hanyut dalam kesibukan dunia dan tidak sedar kita semakin dekat kepada pengakhiran hidup. Saya mula memikirkannya kembali hanya setelah 36 tahun bergelumang dalam pelbagai keadaan untuk mencapai titik KEJUTAN INI. Hanya sebuah kejatuhan,kesakitan dan penderitaan yang panjang sahaja mampu membuat kita berfikir. 





Sebelum ini saya pernah melalui hidup seperti 'dunia ini ana yang punya'. Duit,kesenangan, bercuti kesana-sini seperti mudah buat saya. Dan kesenangan itu membawa saya lupa pada diri saya seketika. Saya tidak meninggalkan ibadah wajib,namun saya semakin jauh dari Allah. 

Sedangkan bila direnung kembali Allah telah memberi saya keistimewaan berbeza dari orang lain. Walau saya tidak mendapat pendidikan formal di mana-mana sekolah agama, tetapi fahaman saya berkaitan agama lebih besar berbanding orang lain. Bukankah itu satu tanda cinta Allah kepada saya? 


Rasulullah S.a.w bersabda, maksudnya : “Apabila Allah mencintai seseorang maka Dia membuatnya faham mengenai agamanya.” [Hadits Riwayat al-Bukhari dan Muslim]

Mengalir air mata bila merasakan saya telah mensia-siakan seluruh cinta ini. 

Perjalanan kini menjadi satu permulaan. Saya perlukan  ia kembali asal bukan semata-mata untuk memperbaiki kehidupan sendiri. Malah,lebih penting saya mahu semua ini dibaca oleh anak-anak saya dan sesiapa saja yang sedang berjuang dalam perjalanan seperti saya. 

Kita wanita,sentiasa terumbang ambing dalam emosi dan kekalutan. Namun,Allah telah membina kekuatan luar biasa dalam kita mengharungi dunia ini. Dunia yang semakin penghujung memerlukan kekuatan wanita untuk memimpin. Allah telah tunjukkan kembali jalan dakwah yang sebenar. Dan...........

Kembali muhasabah diri. Semoga Allah sentiasa bersama kita.

Sabtu, 19 Disember 2015

ILMU EMAS DAN ANDA

Teks : Zubedah Jaafar
Foto : Google



Alhamdulillah,
Diberi peluang oleh Allah untuk menulis lagi.

Memang nak konsisten dengan sesuatu benda bukanlah mudah bila kita ni seorang isteri,ibu kepada anak lima nak tambah jadi enam,bekerja, dan huru hara nak buat bisnes sambilan.

Hari ni ada undangan saudara kahwin di Melaka pula. Orang kata, bila saudara mara kahwin kita kena pergi sebab nanti bila masa anak kita kahwin jika panjang umur, takde pula orang nak datang. Betul ke ? Tepuk dada,Tanya saudara. hehe

Awal penulisan dan nak membiasakan diri dengan blog ni saya suka mencatat pengalaman harian. Semua ini bagi memudahkan saya mendapat ilham menulis.

Inshaa Allah, bermula azam baru 2016 saya dan rakan sepasukan akan mula kembali berkongsi ilmu berkaitan emas dalam seminar-seminar kerana kami akan mengadakan Seminar Celik Emas di bawah bantuan sebuah yayasan. Agak seram juga nak menyampaikan sebab ia masih dalam perancangan akhir. Doakan semuanya dipermudahkan.

Dan pastinya, semua ilmu itu akan saya kongsikan disini demi setitis ilmu berkaitan emas yang Allah titipkan buat saya. Pasti ada hikmah yang besar apabila dalam banyak-banyak bisnes yang saya buat, akhirnya saya masih kekal dalam bisnes emas. Saya masih mengumpul pelbagai bahan dan persoalan yang sentiasa bermain di minda pembaca berkaitan emas untuk diterjemah dalam bentuk penulisan.



Buat sesiapa yang membaca entri ini, amat besar harapan saya untuk anda komen disini atau boleh titipkan sebarang persoalan berkaitan emas kepada saya melalui pm di FB atau Fanpage. Semua soalan akan saya jadikan satu entri yang menarik demi pengetahuan kita bersama dalam dunia emas yang sangat asing pada orang Melayu secara amnya.

Ramai yang fobia dan merasa tertipu dengan emas sebagai medium pelaburan dan ada juga yang takut untuk menyimpan emas kerana emas dikenakan zakat.

Begitu jumudkah pemikiran kita dalam membuka minda berkaitan emas dan menjadikan emas sebagai aset paling bernilai untuk masa hadapan? Inshaa Allah, akan saya kongsikan semua entri berkaitan emas secara jujur dan telus kerana setelah hampir lima tahun saya bergelumang dalam jatuh bangun dunia emas, saya tidak akan menulis hanya untuk mengaut keuntungan material semata-mata.

Cukuplah sekadar saya kembali fokus dalam matlamat saya untuk hidup didunia sebagai bekal di akhirat. Menyampaikan sebagai secubit ilmu yang harus dikongsi demi masa depan umat terbaik dijanjikan Rasulullah. Ilmu yang terbaik adalah ilmu yang dipelajari, diamalkan dan disampaikan.

Saya menantikan persoalan anda.......


Ali ‘Imran, ayat 14
Dan dijadikan indah pada pandangan manusia kecintaan kepada apa-apa yang diingini, yaitu; wanita-wanita, anak harta yang banyak dari EMAS, perak, kuda pilihan, binatang-binatang ternak dan sawah ladang. Itulah kesenangan hidup di dunia; dan di sisi Allah-lah tempat kembali yang baik (syurga).



Khamis, 17 Disember 2015

RASULULLAH : TAULADAN MENDEPANI CABARAN

Teks : Zubedah Jaafar
Foto : Google



Assalamualaikum...

Sempena Jumaat yang penuh barokah ini, mari kita sama-sama perbanyakkan selawat kepada Junjungan Besar Rasulullah SAW. 


Sabda Nabi SAW: Barangsiapa yang berselawat kepadaku sebanyak 100 kali pada hari Jumaat, maka ia akan datang pada hari kiamat dengan keadaan bercahaya
                                                                                                                     - HR Abu Naim.



Dalam mendepani cabaran untuk memulakan kembali perjuangan diri dalam perniagaan,saya banyak memandu diri membaca kembali perjuangan sirah Rasulullah. Kisah Ujian dan tekanan Baginda di waktu awal menyebarkan agama Allah memang jauh lebih perit dan getir berbanding apa yang sedang saya hadapi sekarang.


Pasti ramai yang pernah terbaca dan lebih tahu bagaimana besarnya ujian yang ditanggung Rasulullah.  Baginda seorang yatim piatu sejak kecil, diuji dengan kehilangan datuk,isteri dan bapa saudara disaat Baginda sangat memerlukan sokongan mereka. Ujian di pulau oleh kaumnya, diganggu dan dihina dengan balingan batu, dipukul serta diugut dengan cubaan membunuh demi menegakkan agama Islam. 


Namun Baginda Rasulullah terus istiqamah dalam menunaikan amanah dan tanggungjawab demi masa depan umat Baginda. Saya bersama semua umat Islam tidak akan berada disini hari ini tanpa Rasulullah. Nikmat iman dan islam takkan dapat kita kecapi tanpa pengorbanan air mata dan darah dari Rasulullah dan para Sahabat. 







Benar kata orang, ujian dan kejatuhan akan menjadikan kita dua manusia yang berbeza. Samaada kita kembali muhasabah diri atau terus ego untuk menerima kesilapan diri kita sendiri. 

Di awal kejatuhan menghadapi cacian,makian dan cemuhan serta reaksi negatif semua yang dulu mengaku sahabat dan saudara, saya banyak  cuba mencontohi akhlak Rasulullah. Baginda bukan sahaja membalas dengan senyuman, berkata baik serta bersabar. Tetapi yang paling utama, Baginda memaafkan semua kejahatan yang pernah cuba dilakukan terhadap Baginda. 

Baginda mendoakan hanya kebaikan dan berharap agar hidayah menjadi milik semua umat manusia di bumi. Allah hu akbar. Menitik airmata para sahabat dan mana mungkin ia tidak menitikkan airmata saya walau Rasulullah tidak ada di depan mata. Terima Kasih Ya Rasulullah, kekasih dan cinta hati Allah dan seluruh penduduk bumi dan langit.   

Alhamdulillah, saya teramat-amat bersyukur perjuangan dan kisah Rasulullah selalu menjadi pedoman buat saya untuk terus kuat mendepani hari-hari sukar. Rasulullah selalu menasihatkan agar umatnya sentiasa berdoa. kerana doa itu senjata orang mukmin.



“Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu tentang Aku, Maka sesungguhkan Aku adalah dekat. Aku mengabulkan permohonan orang yang berdoa apabila ia (benar-benar) berdoa kepada-Ku. Maka hendaklah mereka itu memenuhi (segala perintah-Ku) dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku, agar mereka selalu berada dalam kebenaran” (QS. Al-Baqarah: 186).


Semua ayat-ayat cinta dari Allah dan Rasul ini kembali menjadi peneman hidup saya di waktu susah dan senang. Ujian dan setiap cobaan terasa kecil jika dibandingkan dengan ujian yang dihadapi oleh Nabi-nabi terdahulu, Rasulullah dan Para Sahabat. 


Semoga Allah terus menerus memelihara hidayah ini buat kita kerana satu yang paling pasti ialah Allah menguji mengikut tahap keimanan seseorang. Allah pasti mencukupkan setiap ujian dengan kecekalan, ketabahan dan keimanan yang mantap. 


Inshaa Allah. 

Rabu, 16 Disember 2015

NAFAS BARU


Teks : Zubedah Jaafar
Foto : Google



“Ya Tuhan kami, tidaklah Engkau menciptakan segala sesuatu di muka bumi dalam keadaan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka selamatkanlah kami dari siksa neraka.” (Quran, Ali-Imran, 3:191)


Alhamdulillah,alhhamdulillah,alhamdulillah.....

Atas nafas hari ini dan nafas hari-hari sebelumnya yang diberi peluang oleh Allah untuk mengharungi dunia dengan tabah.


Alhamdulillah,
Usai 4 bulan saya dan adik dengan sokongan dua orang abang kami cuba merencanakan pelbagai idea untuk pemulihan kejatuhan teruk syarikat, akhirnya kami ditemukan dengan seorang usahawan berjaya yang berjiwa ikhlas ingin membantu kami merencana kembali pembangunan diri kami dari kosong dalam dunia bisnes.


Tuan Mus, seorang usahawan kopi Sawda pernah menjadi salah seorang klien kami semasa zaman gemilang dalam emas. Beliau sebenarnya pernah dalam diam berkecimpung dalam dunia emas tetapi melakukan trading bersama syarikat luar negara. Kali ini, melihat bakat dan potensi kami dalam emas, beliau dengan beraninya menawarkan kami untuk bekerjasama dengan beliau demi untuk tidak mempersia-siakan seluruh pengalaman dan kepakaran kami dalam mengenali selok-belok emas.


13 Mac 2015, bermula pengembaraan baru dalam dunia saya dan syarikat baru kami. Hanya dengan dua minggu perencanaan, dengan izin Allah jua Syarikat Tuan Mus telah mengambil alih sebuah kedai emas di Cheras untuk kami uruskan. Beliau menjadi 'funder' sepenuhnya dalam misi ini dan kami juga dengan bantuan Allah mendapat seorang sahabat yang sudi meletakkan barang di kedai kami untuk dijual semua barang kemas beliau dan dibayar semula secara berperingkat. Bila Allah memudahkan, semuanya mudah bagi Allah.



Rezeki kami dalam bidang emas masih berterusan, Kali ini kami bertekad untuk bermula kembali dari bawah. Saya juga sentiasa cuba muhasabah diri bahawa ini hanyalah sebuah permulaan. Ilmu bisnes yang terlalu cetek dan semuanya masih terlalu baru untuk dibanggakan. Saya dan juga rakan-rakan seangkatan sentiasa cuba mencari ilmu berkaitan bisnes agar kami tidak lagi tersasar kali ini.


Tiada jalan mudah. Tiada jalan singkat. Untuk mencipta legasi bisnes serta kejayaan yang berpanjangan, harus kuat untuk mengharungi kesusahan,kepayahan dan pengorbanan dari segenap sudut.

Buat sahabat-sahabat yang sedang dalam keadaan putus asa, yakinlah bahawa Allah menyediakan buat kita jalan yang terbaik selagi Allah berikan kita nafas setiap hari. Kembali pada Allah, dan mintalah jalan keluar dengan sepenuh hati. Jika kita merasakan ujian kita sangat berat, percayalah ada manusia yang menghadapi lebih berat ujiannya berbanding kita. Setiap manusia diuji sesuai dengan kemampuan diri. Hanya Allah lebih tahu apa yang terbaik buat kita.




Mari bersama syukuri apa yang kita ada dan terus berjuang untuk masa depan yang Allah telah tentukan buat kita. HANYA YANG TERBAIK DARI ALLAH!!

Selasa, 15 Disember 2015

JATUH BANGUN KEMBALI

Teks : Zubedah Jaafar
Foto : Google

Apabila kehidupan kita berubah total dari kesenangan kepada kesempitan,baru kita menyedari bahawa kita sudah tersasar jauh dari matlamat hidup yang sebenar.
Yang paling menyedihkan,lari daripada tujuan kita sebagai khalifah Allah.

Tidak pernah menyalahkan mana-mana pihak,saya cuba untuk kembali bermuhasabah akan kesilapan diri apabila jatuh. Semasa senang,saya terlalu sibuk. Amalan-amalan yang selalu saya lakukan dalam mendekatkan diri kepada Allah makin berkurangan. Bangun malam bukan untuk bermunajat, malah hanya menyibukkan diri dengan dunia dan tugas yang terlalu banyak dalam keasyikan bisnes emas.
Duit masuk bagai air mengalir dan perlu saya bayar setiap tarikh yang ditetapkan kepada yang menyertai dengan jutaan transaksi setiap hari. Walau dimata kasarnya kesenangan terbentang di hadapan mata,tetapi dari kesibukan dan pengabaian yang berlaku dalam kehidupan semua ini hanya episod sementara.

Hakikat untuk melihat segalanya musnah dalam sekelip mata adalah pengalaman yang sangat sukar dibayangkan. Jika ia hanya melibatkan diri sendiri,saya tidak pernah rasa takut untuk jatuh miskin. Tetapi terlalu banyak amanah yang sedang dituntut. Dua minggu saya tidak mampu bangun dari katil. Hari-hari disulami dengan titisan air mata tanpa henti. Bangun hanya kerana perut perlu diisi dan menunaikan kewajipan wajib pada Ilahi. Saya hanya menyerahkan seluruh urusan anak-anak pada suami. Syukur suami tidak pernah mengeluh. Beliau sangat memahami dan menjadi ayah yang paling baik untuk lima zuriat saya yang masih kecil.

Saya kembali bangun bermunajat setiap malam. Hanya Allah sahaja tempat paling tepat untuk mengadu. Mengharap kekuatan untuk kembali bangkit. Saya mula kembali ke pejabat membantu adik dan syarikat yang kami tubuhkan semasa di kemuncak melakukan proses pemulihan. Walauapapun cara kami lakukan,kerugian yang terlalu besar memang tidak mampu lagi menyelamatkan keadaan. Kami mengambil langkah untuk mencuba dan terus mencuba disamping mengukuhkan kembali iman yang sangat lemah. Masjid mula menjadi tempat kunjungan setiap 5 waktu.Pejabat menjadi rumah kedua kami. Bermacam-macam cara kami fikirkan demi kelansungan menghadapi tragedi ini.

"Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar."
- [Al-Baqarah 2:155]

Bulan berganti bulan. Tiada yang dapat saya lakukan melainkan memilih untuk bangkit kembali. Selagi Allah berikan nyawa setiap hari, saya percaya setiap hari telah ditentukan perjalanan yang mampu saya harungi. Walau bagaimanapun kegagalan dunia dan fizikal sedang berlaku,saya harus memilih untuk bersikap tenang. Demi anak-anak,suami, adik beradik dan beberapa orang sahabat yang tidak pernah jemu memberi kata-kata semangat. 

Apa tindakan dan bagaimana saya bermula kembali?

Inshaa Allah,akan saya terus kongsikan bersama.....

Isnin, 14 Disember 2015

PERJALANAN SEORANG USAHAWAN - AKHIR


Teks : Zubedah Jaafar
Foto : Google


Selamat bertemu kembali.
Mungkin sudah terlalu lama memori perjalanan ranjau kehidupan mahu dikeluarkan dalam bentuk penulisan sampai saya sendiri tak percaya terlalu panjang saya menulis hanya untuk sebuah episod pengenalan.

Yang bermula harus diakhirkan. Setelah pelbagai macam jenis perniagaan saya cuba, disambung lagi dengan menjadi ejen topup,ejen-ejen MLM, akhirnya saya diketemukan dengan bisnes emas melalui abang saya di Kedah. Abang saya menjadi ahli sebuah syarikat emas yang beroperasi di Nilai. Walaupun saya bekerja di Sepang yang tidak jauh dari Nilai tetapi disebabkan kesibukan saya sebagai guru Prasekolah, banyak berita luar terutamanya berkaitan bisnes tidak sampai ke telinga saya secara terus. 

Saya tidak menunggu masa lama untuk menyertai syarikat tersebut sebagai ahli dengan menggunakan modal dari pinjaman peribadi saya mendaftar sebagai ahli bermodalkan RM10,000 dan mendapat 10 utas barang kemas 10g. Maka pada tahun 2010,bermula la proses saya belajar berkaitan emas kerana memang matlamat saya menjadi ahli untuk teruskan minat saya berniaga.

Kali ini saya cuba sehabis baik untuk menulis ringkas agar penulisan saya tak dapat seperti menulis karangan SPM. hehe. Ia cuma sebuah perjalanan berkongsi pengajaran hidup untuk panduan bersama.

Sepanjang menjadi ahli syarikat emas tersebut, saya sangat aktif melibatkan diri dalam pelbagai aktiviti syarikat. Selesai sahaja kerja di sekolah, saya berkorban meninggalkan suami dan anak-anak untuk menyertai seminar-seminar emas, membantu bersama ahli-ahli yang lain membuka gerai jualan, dan memberi komitmen menguruskan pelbagai aktiviti ceramah yang disediakan oleh pihak syarikat. Namun, dalam keadaan sibuk itu, saya disahkan mengandung anak ke 4 tetapi terus aktif mengajar dan berbisnes. Demi masa depan anak-anak yang semakin bertambah saya terus gagahi untuk berusaha mengubah kehidupan menjadi lebih baik.

Perkara yang membuatkan saya paling serasi dengan emas ialah apabila saya mengandung saya tetap kuat untuk menjalankan bisnes ini. Tidak seperti bisnes-bisnes yang lain, saya rasa sangat lemah bila mengandung dan tidak mampu meneruskan bisnes. Itu yang membuatkan saya rasa, emas adalah bisnes yang sebenar dalam hidup saya.

Setelah bersalin, saya semakin aktif menjual sehingga satu tahap saya menubuhkan satu kumpulan pemasaran saya sendiri bersama ahli-ahli syarikat tersebut dengan agenda menjalankan ceramah-ceramah emas ke seluruh negara. Walau hasil yang kami dapat dari perjuangan itu tidak setimpal dengan nilai wang, tapi kesedaran berkaitan ilmu emas yang sangat cetek di kalangan melayu khususnya menyebabkan kami rasa sentiasa bersemangat.



Jatuh bangun itu adat berniaga kata orang. Hanya yang kuat sahaja akan dapat meneruskan legasi. Akhirnya, ramai dikalangan ahli kumpulan saya terutamanya yang sepenuh masa berniaga merasakan tidak berbaloi untuk meneruskan kempen pemasaran kerana bayaran dari syarikat terlalu sedikit untuk diagihkan bersama. Belum anak ke empat menjejak umur 2 tahun, saya mengandung lagi anak yang ke 5. Saya mengambil keputusan untuk memperlahankan sedikit aktiviti bisnes namun pada awal tahun 2014 dunia emas seperti dipukau. Sampai saat ini saya masih tak punya ayat yang sesuai untuk menjadikan tragedi ini sebuah cerita tetapi kesan daripada pukauan inilah pada akhir tahun 2014 saya mengambil keputusan untuk memberi notis berhenti sebulan sebagai guru siswazah.

Waktu itu, sesiapa sahaja yang duduk dalam bisnes emas mendapat hasil yang luar biasa sehingga datang sifat tamak dan hilang kesedaran diri bahawa semuanya hanya bersifat sementara. Setelah sebulan saya berhenti, rata-rata seluruh syarikat yang menjalankan bisnes emas jatuh dengan teruk sekali. Dipihak saya, bukan sahaja tiada pekerjaan malah menanggung hutang yang besar akibat ramai yang menyertai saya membeli emas yang akhirnya tidak kunjung tiba.

Namun, semua ini mengejutkan saya dari lena yang sangat panjang. Kembali bermuhasabah dan peluang Allah memberi saya nafas untuk hidup serta memperoleh kekuatan muncul menulis di alam maya inipun sudah berjuta kesyukuran harus saya panjatkan. Bagaimana saya bangun dari tak punya apa-apa akan saya catatkan dalam entri yang lain inshaa Allah.

Pesanan dari seorang mentor saya. DARI MANA ANDA BERMULA ITU TIDAK PENTING.
Sekarang masanya untuk merencana BAGAIMANA ANDA BERAKHIR!!!



Salam ukhuwah dari saya, hanya seorang hamba Allah yang lemah. 

Ahad, 13 Disember 2015

PERJALANAN SEORANG USAHAWAN BAHAGIAN 2


Perjuangan Baru Bermula


Teks : Zubedah Jaaafar
Foto : Google




Selepas mengahwini suami, saya terus berhenti mengajar di Ipoh dan berpindah ke rumah mertua di Bandar Tun Razak,Kuala Lumpur. Saya ditawarkan bekerja bersama suami di pejabat pakcik beliau yang menjalankan pelbagai jenis bisnes sebagai kerani akaun. Pakcik suami mempunyai syarikat membuat rumah persendirian, kedai runcit dan restoran di luar negara pada masa itu. Banyak  terma-terma dan pengalaman dalam bisnes mula saya pelajari disini. Saya juga disahkan mengandung anak pertama kami. Namun, keadaan mabuk yang agak teruk menyebabkan prestasi kerja saya merosot. Suami pula secara tiba-tiba ditugaskan membantu pengurusan restoran pakcik di Australia selama 3 bulan. Semuanya memerlukan kekuatan luar biasa untuk diharungi. Hanya kepada Allah sahaja saya berdoa dan alhamdulillah semuanya dipermudahkan.

Keadaan syarikat yang semua pekerja adalah lelaki kecuali saya menyebabkan saya mengambil keputusan berhenti setelah melahirkan anak pertama kami, Izzadeen. Rezeki anak kata orang, saya ditawarkan menjadi guru sandaran di Sekolah Kebangsaan Kajang dimana ibu saudara suami menjadi guru besar. Baru 40 hari berpantang saya terus dipanggil bertugas. Guru-guru dan semua kakitangan sekolah sangat baik.

Tetapi, jiwa bisnes masih tetap mekar dalam hati saya. Menjelang ramadhan, bila melihat ramai sahabat guru menjual kuih raya saya mencadangkan pada suami untuk kami menjual kerepek. Ditambah dengan pendapatan guru sandaran yang hanya rm700 dan kerja suami yang ada naik turunnya maka suami bersetuju. Kami ambil tempahan dulu dari guru-guru, dapatkan kerepek dari pembekal dan bungkus sendiri setengah kilo setiap satu. Keuntungan agak lumayan sampai saya boleh sedekahkan kerepek untuk hari raya pada biras,mertua dan adik beradik. Bila dikenang kembali, pengalaman seperti ini tidak boleh dijual beli. Teringat saya kata-kata Coach Bahar,seorang usahawan berjaya. ' Jika tidak pernah menimba pengalaman menjual kerepek, jangan berani mengaku anda usahawan'. Kerana apa jua carapun yang perlu dalam berniaga,asasnya adalah BELAJAR MENJUAL!!



Belum setahun usia anak pertama,saya disahkan mengandung anak kedua. Disebabkan saya hanya seorang guru sandaran, saya hanya boleh berpantang 30 hari sahaja dan dikehendaki kembali mengajar selepas 30 hari berpantang. Pasti ramai ibu-ibu yang menghadapi keadaan seperti saya. Jadi macammana? Disebabkan segalanya sudah saya harungi, saya hanya mampu memberi nasihat, kita ikat barut kuat-kuat,makan ubat, jaga langkah dan berserah pada Allah kerana kita mahu pergi bekerja. Bukan melakukan perkara yang dilarang.


BIsnes oh bisnes

3 tahun kontrak sebagai guru sandaran saya tamat kerana kerajaan tiada lagi membuka jawatan sebagai guru sandaran di sekolah. Namun rezeki tidak pernah berhenti di situ, saya berkenalan dengan seorang pengusaha tadika yang juga cikgu sekolah berkenaan. Saya ditawarkan menjadi guru tadika. Disini saya banyak belajar selok-belok pengurusan tadika dan yang mudahnya saya boleh membawa 2 orang anak saya bersama. Keinginan yang membuak-buak untuk membuka perniagaan sendiri menyebabkan akhirnya saya mencari tadika untuk dibeli dan diuruskan sendiri. Alhamdulillah, dengan izin Allah ada seorang pengurus tadika yang ingin menjual tadika dengan bayaran ansuran. Maka,bermula la episod pertama saya seorang usahawan.

   
“Jangan Menunggu Waktu Yang Tepat Untuk Melakukan Sesuatu, Kerana Waktu Tidak Akan Pernah Tepat Bagi Mereka Yang Menunggu.” - DR AZIZAN OSMAN
        

Kesukaran demi kesukaran mula saya alami seawal pencarian murid tadika sehinggalah pengurusan pekerja. Kedudukan kewangan yang goyah menyebabkan saya hanya mengambil seorang pembantu dan seorang guru. Sementara saya mendapatkan kerja sebagai kerani akaun di sebuah syarikat kenalan demi mendapatkan kewangan tambahan untuk ditambah kepada tadika. Dalam masa yang sama, saya mendapat makluman bahawa saya ditawarkan melanjutkan pelajaran dalam KPLI untuk mendapatkan Diploma Pendidikan Prasekolah sebagai guru tetap. Keadaan yang sangat huru - hara ini makin bertambah apabila saya disahkan hamil anak ketiga. huhu.

Setelah berbincang dengan suami, saya membuat keputusan untuk  tidak menerima tawaran melanjutkan pelajaran kerana hamil, saya berhenti bekerja kerana mengalami mabuk teruk dan kembali menumpukan kepada pengurusan tadika. Kesibukan yang teramat menyebabkan saya tidak sedar anak saya sonsang dan terpaksa melahirkan secara pembedahan. Mujurlah,pembantu dan guru tadika sangat memahami situasi saya dan mereka memberi kerjasama yang sangat baik dalam melancarkan pengurusan harian tadika saya.

Disebabkan memikir masa depan yang lebih baik bekerja dengan kerajaan,saya memohon sekali lagi KPLI dan berjaya untuk mengikuti pengajian pada tahun berikutnya. Meninggalkan 3 orang anak yang berusia 6 bulan, setahun setengah, dan 3 tahun dengan suami serta menjual tadika kepada guru yang mengajar tadika tersebut bukan keputusan yang mudah. Suami sangat banyak membantu saya melalui proses ini juga kakak di kampung yang saya sandarkan untuk menjaga anak saya yang masih 6 bulan selama setahun pengajian. Tamat pengajian KPLI pada 2009 saya terus ditempatkan di Sekolah Orang Asli Kg Bukit Bangkong,Sepang. Sejam Perjalanan dari rumah di Bangi, saya berulang ke sekolah selama setahun dan bakinya kami mengambil keputusan berpindah menyewa rumah berdekatan. 5 tahun bertugas sebagai tenaga pengajar cukup mencekalkan saya disamping pelbagai bisnes sampingan yang saya lakukan. Dalam tempoh ini juga saya keguguran anak ke empat kerana disyaki suspek H1N1 yang melanda seluruh negara pada 2009.

Semasa mengajar disini saya mula mengenali DUNIA BISNES EMAS!!


Semoga bertemu lagi...




Jumaat, 11 Disember 2015

PERJALANAN SEORANG USAHAWAN BAHAGIAN 1

Pengenalan Diri

Teks : Zubedah Jaaafar
Foto : Google

Bismillahirrahmanirrahim
Segala Puji hanya Layak buat Allah yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang,
Selawat dan Salam buat junjungan Nabi Muhammad SAW


Assalamualaikum dan Salam Sejahtera buat semua sahabat muslim dan bukan muslim di luar sana.Dengan izin Allah jua saya sangat bersyukur kerana dapat mengumpul kekuatan untuk mula menulis dengan lebih formal berbekal bantuan dari Puan Anys Idayu Zakaria dari Akademi ABDR.

Saya Zubedah Jaafar yang lebih dikenali sebagai ZueJaafar Usahawan di alam maya terutama di FB kerana saya selalu aktif menulis disana. Saya mengambil langkah untuk secara serius menulis blog kerana ingin berkongsi pengalaman hidup serta jatuh bangun  dalam membina legasi perniagaan terutamanya dalam perniagaan  emas yang sedang saya ceburi sekarang.

Saya anak kesembilan dari keluarga besar 10 orang adik beradik. Awalnya saya mempunyai 4 orang kakak, 4 orang abang dan seorang adik lelaki. Namun seorang abang saya dijemput awal oleh Allah diwaktu usia saya 16 tahun akibat komplikasi asma. Kami dibesarkan dalam keluarga yang serba kekurangan di Kg Gajah,Perak tetapi Allah sentiasa mencukupkan rezeki dengan usaha keras ayah menjalankan bermacam-macam kerja kampung. Saya sebagai anak bongsu perempuan sentiasa mendapat manjaan sepenuhnya kerana kakak dan abang sudah besar. Mereka sentiasa membantu memudahkan keperluan emak dan ayah dalam menjaga keperluan adik-adik. 

Dari kecil saya memang seorang anak yang tak tahu duduk diam. Walau semasa darjah 1 hanya saya seorang di dalam kelas yang tidak menjejakkan kaki ke kelas tadika tetapi saya selalu bersaing dengan cemerlang bersama rakan-rakan sekelas yang lain. Kerana selalu bersedia menghadapi pelbagai cabaran, hanya saya seorang yang mengambil langkah untuk berpindah ke asrama desa yang agak jauh dari kampung semasa darjah 5. Semua cabaran-cabaran ini sebenarnya adalah persiapan untuk saya dari Allah demi menghadapi ujian yang lebih besar dalam hidup.



Pengalaman dalam mencari peluang bisnes bermula sejak saya di sekolah menengah lagi. Moto 'tidak lalu duduk diam' selalu saya jadikan alasan untuk membuat pelbagai kerja dalam satu masa. Menyambung tinggal di asrama di Sekolah Menengah Gunung Rapat,Ipoh melebarkan lagi peluang saya untuk mula berbisnes kecil-kecilan. Seorang kakak saya yang juga tinggal di Ipoh membantu menyediakan bekalan pelbagai jenis makanan segera untuk saya jual dikalangan rakan-rakan asrama.
Namun,kecetekan ilmu bisnes dan pengurusan kewangan menyebabkan bisnes saya hanya mampu bertahan beberapa bulan. Modal entah kemana,untung entah kemana.


Tidak serik dengan kegagalan pertama, sementara menunggu keputusan SPM saya mengisi masa lapang dengan menjual Air Batu Campur ( ABC ) di depan rumah. Kali ini saya cuba sehabis baik menjaga aliran tunai dan sebulan sahaja berniaga saya berjaya mengumpul RM300 untung bersih walaupun jualan ABC ada turun naiknya. Saya pasti semua peniaga air pasti merasai perit maung ini. Proses pengalaman berniaga seperti inilah yang selalu membuat saya menghargai peniaga-peniaga pasar malam,peniaga kaki lima dan peniaga kecil. Semangat dan kekuatan luar biasa diperlukan untuk bertahan dan menghadapi cabaran untuk terus berjaya dalam perniagaan.


Setelah ditawarkan mengikuti pengajian matrikulasi UPM di Kelantan, saya mula melupakan keinginan untuk berniaga dalam diri. Setahun setengah di Kelantan, semangat berniaga wanita-wanita Kelantan terus tenggelam dalam diri saya apabila saya berazam untuk mengambil jurusan paling diidamkan oleh semua orang di matrik pada waktu itu iaitu BioMedic. Kita hanya merancang,perancangan Allah lebih baik. Sewaktu pemilihan jurusan mahu dibuat, bidang BioMedic tidak ditawarkan. Saya sangat kecewa dan melakukan istikharah sekali lagi lalu memilih jurusan yang jauh dari bidang yang saya minati iaitu biologi dengan mengambil Jurusan Sains Komputer.
Proses pembelajaran di UPM berjalan lancar.Saya dikurniakan Ijazah Sains Komputer pada tahun 2002 namun melangkah sukar dalam mencari pekerjaan yang sesuai dengan bidang yang dipelajari. 
Sepanjang tempoh menganggur, saya memohon menjadi guru sandaran dan mengambil kursus pendek IT yang ditawarkan elaun oleh kerajaan. Alhamdulillah,selesai kursus pendek IT selama 3 bulan, saya ditawarkan menjadi guru sandaran di Sekolah Kebangsaan Sungai Itek,Gopeng Ipoh.


Semasa tahun akhir pengajian, saya berkenalan dengan suami melalui online. Kisah perkenalan ini agak menarik dan seperti drama TV. hehe. Inshaa Allah,ada rezeki akan saya jadikan pengisian pada satu entri lain. Alhamdulillah,berbekal ilmu agama yang Allah beri melalui asuhan emak dan ayah, saya jenis manusia yang tak mengamalkan konsep 'dating', perlu perkenalan lama  baru berkahwin. Allah juga mentaqdirkan saya dapat bertemu suami melalui online yang pada masa itu terlalu baru bagi remaja dengan hanya ada IRC dan Yahoo Mesenger. Perkenalan online itu mengikat saya dengan tali pertunangan selama setahun usai pengajian di UPM. kami berkahwin semasa saya sedang menjadi guru sandaran di SK Sungai Itek dan saya berhenti kerana mengikut suami yang bekerja di Kuala Lumpur. 

Keadaan dan situasi sebenar yang dialami akan banyak mengubah seluruh perjalanan hidup kita. Dari meminati biologi, belajar Sains Komputer dan akhirnya menjadi guru, segalanya ujian dan cabaran sebenarnya baru bermula buat saya.Banyak lagi liku-liku yang ditempuh bermula selepas saya berkahwin dan cuba mencari peluang yang sesuai dengan jiwa dalam dunia pekerjaan dan PERNIAGAAN.

Terima kasih kerana sudi membaca.
Terus mengikuti entri seterusnya. 
Semoga bertemu lagi......