BISNES DAN DAKWAH

Rabu, 16 Disember 2015

NAFAS BARU


Teks : Zubedah Jaafar
Foto : Google



“Ya Tuhan kami, tidaklah Engkau menciptakan segala sesuatu di muka bumi dalam keadaan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka selamatkanlah kami dari siksa neraka.” (Quran, Ali-Imran, 3:191)


Alhamdulillah,alhhamdulillah,alhamdulillah.....

Atas nafas hari ini dan nafas hari-hari sebelumnya yang diberi peluang oleh Allah untuk mengharungi dunia dengan tabah.


Alhamdulillah,
Usai 4 bulan saya dan adik dengan sokongan dua orang abang kami cuba merencanakan pelbagai idea untuk pemulihan kejatuhan teruk syarikat, akhirnya kami ditemukan dengan seorang usahawan berjaya yang berjiwa ikhlas ingin membantu kami merencana kembali pembangunan diri kami dari kosong dalam dunia bisnes.


Tuan Mus, seorang usahawan kopi Sawda pernah menjadi salah seorang klien kami semasa zaman gemilang dalam emas. Beliau sebenarnya pernah dalam diam berkecimpung dalam dunia emas tetapi melakukan trading bersama syarikat luar negara. Kali ini, melihat bakat dan potensi kami dalam emas, beliau dengan beraninya menawarkan kami untuk bekerjasama dengan beliau demi untuk tidak mempersia-siakan seluruh pengalaman dan kepakaran kami dalam mengenali selok-belok emas.


13 Mac 2015, bermula pengembaraan baru dalam dunia saya dan syarikat baru kami. Hanya dengan dua minggu perencanaan, dengan izin Allah jua Syarikat Tuan Mus telah mengambil alih sebuah kedai emas di Cheras untuk kami uruskan. Beliau menjadi 'funder' sepenuhnya dalam misi ini dan kami juga dengan bantuan Allah mendapat seorang sahabat yang sudi meletakkan barang di kedai kami untuk dijual semua barang kemas beliau dan dibayar semula secara berperingkat. Bila Allah memudahkan, semuanya mudah bagi Allah.



Rezeki kami dalam bidang emas masih berterusan, Kali ini kami bertekad untuk bermula kembali dari bawah. Saya juga sentiasa cuba muhasabah diri bahawa ini hanyalah sebuah permulaan. Ilmu bisnes yang terlalu cetek dan semuanya masih terlalu baru untuk dibanggakan. Saya dan juga rakan-rakan seangkatan sentiasa cuba mencari ilmu berkaitan bisnes agar kami tidak lagi tersasar kali ini.


Tiada jalan mudah. Tiada jalan singkat. Untuk mencipta legasi bisnes serta kejayaan yang berpanjangan, harus kuat untuk mengharungi kesusahan,kepayahan dan pengorbanan dari segenap sudut.

Buat sahabat-sahabat yang sedang dalam keadaan putus asa, yakinlah bahawa Allah menyediakan buat kita jalan yang terbaik selagi Allah berikan kita nafas setiap hari. Kembali pada Allah, dan mintalah jalan keluar dengan sepenuh hati. Jika kita merasakan ujian kita sangat berat, percayalah ada manusia yang menghadapi lebih berat ujiannya berbanding kita. Setiap manusia diuji sesuai dengan kemampuan diri. Hanya Allah lebih tahu apa yang terbaik buat kita.




Mari bersama syukuri apa yang kita ada dan terus berjuang untuk masa depan yang Allah telah tentukan buat kita. HANYA YANG TERBAIK DARI ALLAH!!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan