BISNES DAN DAKWAH

Selasa, 15 Disember 2015

JATUH BANGUN KEMBALI

Teks : Zubedah Jaafar
Foto : Google

Apabila kehidupan kita berubah total dari kesenangan kepada kesempitan,baru kita menyedari bahawa kita sudah tersasar jauh dari matlamat hidup yang sebenar.
Yang paling menyedihkan,lari daripada tujuan kita sebagai khalifah Allah.

Tidak pernah menyalahkan mana-mana pihak,saya cuba untuk kembali bermuhasabah akan kesilapan diri apabila jatuh. Semasa senang,saya terlalu sibuk. Amalan-amalan yang selalu saya lakukan dalam mendekatkan diri kepada Allah makin berkurangan. Bangun malam bukan untuk bermunajat, malah hanya menyibukkan diri dengan dunia dan tugas yang terlalu banyak dalam keasyikan bisnes emas.
Duit masuk bagai air mengalir dan perlu saya bayar setiap tarikh yang ditetapkan kepada yang menyertai dengan jutaan transaksi setiap hari. Walau dimata kasarnya kesenangan terbentang di hadapan mata,tetapi dari kesibukan dan pengabaian yang berlaku dalam kehidupan semua ini hanya episod sementara.

Hakikat untuk melihat segalanya musnah dalam sekelip mata adalah pengalaman yang sangat sukar dibayangkan. Jika ia hanya melibatkan diri sendiri,saya tidak pernah rasa takut untuk jatuh miskin. Tetapi terlalu banyak amanah yang sedang dituntut. Dua minggu saya tidak mampu bangun dari katil. Hari-hari disulami dengan titisan air mata tanpa henti. Bangun hanya kerana perut perlu diisi dan menunaikan kewajipan wajib pada Ilahi. Saya hanya menyerahkan seluruh urusan anak-anak pada suami. Syukur suami tidak pernah mengeluh. Beliau sangat memahami dan menjadi ayah yang paling baik untuk lima zuriat saya yang masih kecil.

Saya kembali bangun bermunajat setiap malam. Hanya Allah sahaja tempat paling tepat untuk mengadu. Mengharap kekuatan untuk kembali bangkit. Saya mula kembali ke pejabat membantu adik dan syarikat yang kami tubuhkan semasa di kemuncak melakukan proses pemulihan. Walauapapun cara kami lakukan,kerugian yang terlalu besar memang tidak mampu lagi menyelamatkan keadaan. Kami mengambil langkah untuk mencuba dan terus mencuba disamping mengukuhkan kembali iman yang sangat lemah. Masjid mula menjadi tempat kunjungan setiap 5 waktu.Pejabat menjadi rumah kedua kami. Bermacam-macam cara kami fikirkan demi kelansungan menghadapi tragedi ini.

"Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar."
- [Al-Baqarah 2:155]

Bulan berganti bulan. Tiada yang dapat saya lakukan melainkan memilih untuk bangkit kembali. Selagi Allah berikan nyawa setiap hari, saya percaya setiap hari telah ditentukan perjalanan yang mampu saya harungi. Walau bagaimanapun kegagalan dunia dan fizikal sedang berlaku,saya harus memilih untuk bersikap tenang. Demi anak-anak,suami, adik beradik dan beberapa orang sahabat yang tidak pernah jemu memberi kata-kata semangat. 

Apa tindakan dan bagaimana saya bermula kembali?

Inshaa Allah,akan saya terus kongsikan bersama.....

Tiada ulasan:

Catat Ulasan