BISNES DAN DAKWAH

Ahad, 13 Disember 2015

PERJALANAN SEORANG USAHAWAN BAHAGIAN 2


Perjuangan Baru Bermula


Teks : Zubedah Jaaafar
Foto : Google




Selepas mengahwini suami, saya terus berhenti mengajar di Ipoh dan berpindah ke rumah mertua di Bandar Tun Razak,Kuala Lumpur. Saya ditawarkan bekerja bersama suami di pejabat pakcik beliau yang menjalankan pelbagai jenis bisnes sebagai kerani akaun. Pakcik suami mempunyai syarikat membuat rumah persendirian, kedai runcit dan restoran di luar negara pada masa itu. Banyak  terma-terma dan pengalaman dalam bisnes mula saya pelajari disini. Saya juga disahkan mengandung anak pertama kami. Namun, keadaan mabuk yang agak teruk menyebabkan prestasi kerja saya merosot. Suami pula secara tiba-tiba ditugaskan membantu pengurusan restoran pakcik di Australia selama 3 bulan. Semuanya memerlukan kekuatan luar biasa untuk diharungi. Hanya kepada Allah sahaja saya berdoa dan alhamdulillah semuanya dipermudahkan.

Keadaan syarikat yang semua pekerja adalah lelaki kecuali saya menyebabkan saya mengambil keputusan berhenti setelah melahirkan anak pertama kami, Izzadeen. Rezeki anak kata orang, saya ditawarkan menjadi guru sandaran di Sekolah Kebangsaan Kajang dimana ibu saudara suami menjadi guru besar. Baru 40 hari berpantang saya terus dipanggil bertugas. Guru-guru dan semua kakitangan sekolah sangat baik.

Tetapi, jiwa bisnes masih tetap mekar dalam hati saya. Menjelang ramadhan, bila melihat ramai sahabat guru menjual kuih raya saya mencadangkan pada suami untuk kami menjual kerepek. Ditambah dengan pendapatan guru sandaran yang hanya rm700 dan kerja suami yang ada naik turunnya maka suami bersetuju. Kami ambil tempahan dulu dari guru-guru, dapatkan kerepek dari pembekal dan bungkus sendiri setengah kilo setiap satu. Keuntungan agak lumayan sampai saya boleh sedekahkan kerepek untuk hari raya pada biras,mertua dan adik beradik. Bila dikenang kembali, pengalaman seperti ini tidak boleh dijual beli. Teringat saya kata-kata Coach Bahar,seorang usahawan berjaya. ' Jika tidak pernah menimba pengalaman menjual kerepek, jangan berani mengaku anda usahawan'. Kerana apa jua carapun yang perlu dalam berniaga,asasnya adalah BELAJAR MENJUAL!!



Belum setahun usia anak pertama,saya disahkan mengandung anak kedua. Disebabkan saya hanya seorang guru sandaran, saya hanya boleh berpantang 30 hari sahaja dan dikehendaki kembali mengajar selepas 30 hari berpantang. Pasti ramai ibu-ibu yang menghadapi keadaan seperti saya. Jadi macammana? Disebabkan segalanya sudah saya harungi, saya hanya mampu memberi nasihat, kita ikat barut kuat-kuat,makan ubat, jaga langkah dan berserah pada Allah kerana kita mahu pergi bekerja. Bukan melakukan perkara yang dilarang.


BIsnes oh bisnes

3 tahun kontrak sebagai guru sandaran saya tamat kerana kerajaan tiada lagi membuka jawatan sebagai guru sandaran di sekolah. Namun rezeki tidak pernah berhenti di situ, saya berkenalan dengan seorang pengusaha tadika yang juga cikgu sekolah berkenaan. Saya ditawarkan menjadi guru tadika. Disini saya banyak belajar selok-belok pengurusan tadika dan yang mudahnya saya boleh membawa 2 orang anak saya bersama. Keinginan yang membuak-buak untuk membuka perniagaan sendiri menyebabkan akhirnya saya mencari tadika untuk dibeli dan diuruskan sendiri. Alhamdulillah, dengan izin Allah ada seorang pengurus tadika yang ingin menjual tadika dengan bayaran ansuran. Maka,bermula la episod pertama saya seorang usahawan.

   
“Jangan Menunggu Waktu Yang Tepat Untuk Melakukan Sesuatu, Kerana Waktu Tidak Akan Pernah Tepat Bagi Mereka Yang Menunggu.” - DR AZIZAN OSMAN
        

Kesukaran demi kesukaran mula saya alami seawal pencarian murid tadika sehinggalah pengurusan pekerja. Kedudukan kewangan yang goyah menyebabkan saya hanya mengambil seorang pembantu dan seorang guru. Sementara saya mendapatkan kerja sebagai kerani akaun di sebuah syarikat kenalan demi mendapatkan kewangan tambahan untuk ditambah kepada tadika. Dalam masa yang sama, saya mendapat makluman bahawa saya ditawarkan melanjutkan pelajaran dalam KPLI untuk mendapatkan Diploma Pendidikan Prasekolah sebagai guru tetap. Keadaan yang sangat huru - hara ini makin bertambah apabila saya disahkan hamil anak ketiga. huhu.

Setelah berbincang dengan suami, saya membuat keputusan untuk  tidak menerima tawaran melanjutkan pelajaran kerana hamil, saya berhenti bekerja kerana mengalami mabuk teruk dan kembali menumpukan kepada pengurusan tadika. Kesibukan yang teramat menyebabkan saya tidak sedar anak saya sonsang dan terpaksa melahirkan secara pembedahan. Mujurlah,pembantu dan guru tadika sangat memahami situasi saya dan mereka memberi kerjasama yang sangat baik dalam melancarkan pengurusan harian tadika saya.

Disebabkan memikir masa depan yang lebih baik bekerja dengan kerajaan,saya memohon sekali lagi KPLI dan berjaya untuk mengikuti pengajian pada tahun berikutnya. Meninggalkan 3 orang anak yang berusia 6 bulan, setahun setengah, dan 3 tahun dengan suami serta menjual tadika kepada guru yang mengajar tadika tersebut bukan keputusan yang mudah. Suami sangat banyak membantu saya melalui proses ini juga kakak di kampung yang saya sandarkan untuk menjaga anak saya yang masih 6 bulan selama setahun pengajian. Tamat pengajian KPLI pada 2009 saya terus ditempatkan di Sekolah Orang Asli Kg Bukit Bangkong,Sepang. Sejam Perjalanan dari rumah di Bangi, saya berulang ke sekolah selama setahun dan bakinya kami mengambil keputusan berpindah menyewa rumah berdekatan. 5 tahun bertugas sebagai tenaga pengajar cukup mencekalkan saya disamping pelbagai bisnes sampingan yang saya lakukan. Dalam tempoh ini juga saya keguguran anak ke empat kerana disyaki suspek H1N1 yang melanda seluruh negara pada 2009.

Semasa mengajar disini saya mula mengenali DUNIA BISNES EMAS!!


Semoga bertemu lagi...




Tiada ulasan:

Catat Ulasan