BISNES DAN DAKWAH

Isnin, 1 Februari 2016

BAYI BARU,EMAS DAN BISNES


Maaf la lama benar tak menulis...
Alhamdulillah baru selesai tugas menutup kira-kira 2015 dan membuka lembaran baru 2016. Tugas baru sekarang agak mencabar sampai sakit pinggang membuat unjuran kewangan, perkara baru yang tak pernah terfikir akan saya ceburi. Tapi mana-mana usahawan,akauntan mahupun berniaga kecil-kecilan pasti memahami betapa pentingnya penjagaan kewangan dalam nadi sebuah syarikat.

ok, bukan ini tajuk utama yang nak saya tulis hari ini.

Saya mendapat idea berkongsi kisah anak-anak saya dengan dunia bisnes sebab setiap satu kelahiran mereka ini selalu terkait dengan rezeki bisnes saya.

Anak pertama, Izzadeen adalah permulaan kepada saya menyibukkan diri dengan dunia bisnes. Pada masa itu saya hanya seorang guru sementara dengan gaji RM700 sebulan. Dengan kekangan bisnes suami dan desakan hidup di kajang saya menceburkan diri dalam bisnes MLM sebuah syarikat emas sadur. Dengan bantuan isteri sahabat suami, kami selalu berulang malam minggu ke Damansara demi mendengar taklimat dari ejen yang sangat aktif disana. Dengan bayi yang baru 2 bulan,suami menjaga di bawah dan saya naik ke bilik seminar untuk belajar. Pertama kali saya belajar teknik pemasaran MLM. Anehnya, untuk mendapatkan lebih banyak rangkaian, syarikat ini menggalakkan kami menjual emas tulen yang kami pakai dan membeli emas sadur mereka. Maka, bila orang melihat kami memakai emas sadur tersebut pasti keinginan untuk menyertai semakin membuak ditambah dengan insentif-insentif yang diberi oleh syarikat. Habis semua emas yang dihadiah ibu, suami saya laburkan untuk menjayakan misi ini.

Rupanya panas tidak sampai ke petang. Setelah disahkan mengandung anak kedua,saya mengalami alahan teruk hingga tidak mampu keluar membuat pemasaran. Semua yang dilabur lebur begitu sahaja. Malah saya dimarahi oleh senior atas kerana terlalu lemah dalam merancakkan kempen pemasaran saya. Selepas tamat kontrak sebagai guru sandaran dan melahirkan anak kedua,saya bekerja disebuah tadika swasta dan boleh membawa anak bersama ke tadika tersebut. Dari situ saya belajar tentang bisnes tadika.

Tanpa mengambil masa yang lama saya belajar untuk menguruskan sebuah tadika dan mula mencari tapak baru untuk menjalankan perniagaan tadika sendiri. Rezeki anak ke dua, Nurhannah saya berjaya membeli secara ansuran sebuah tadika yang sudah siap segala kelengkapan. Suami dan mertua banyak membantu dalam proses ini dan saya mula menjalankan pemasaran untuk pendaftaran baru murid-murid tadika dan taska. Disebabkan kekangan untuk membayar pekerja, saya mengambil langkah untuk mencari kerja lain demi meneruskan kelansungan tadika yang baru setahun jagung.

Dalam masa yang sama saya diterima melanjutkan pelajaran dalam Diploma Pendidikan Kanak-kanak ( KPLI-Pra ). Tetapi saya terpaksa menolak kerana disahkan mengandung anak ke tiga.

Selasa, 19 Januari 2016

FAKTOR TURUN NAIK EMAS

Teks : Zubedah Jaafar

Alhamdulillah...

Dengan perkembangan ramai rakyat malaysia yang celik emas dan mula menjadikan emas sebagai aset pilihan alternatif dan tukaran wang simpanan maka ilmu berkaitan emas juga sering dijadikan tajuk carian.

Pilihan isu saya hari ini adalah berkaitan persoalan naik dan turun harga emas. Sebab ramai yang merasakan turun naik emas ini dikaitkan dengan Ringgit Malaysia yang tidak stabil dan tahap inflasi di Malaysia yang semakin meningkat. Ianya bukan sahaja jauh meleset dan tersasar malah kaitannya sangat jauh sekali.

Ini kerana emas adalah logam berharga yang menjadi rebutan seluruh dunia. Perebutan memiliki khazanah ini berlaku global bukan hanya terhad di Malaysia.

Kenaikan harga emas pada pasaran tempatan dan luar negara lazimnya dikaitkan dengan 3 faktor utama. 
Faktor Pertama ialah penyusutan nilai dolar Amerika. Apabila nilai dolar Amerika susut harga emas akan naik, apabila dolar Amerika stabil harga emas akan susut. Emas bertindak sebagai pelindung nilai menentang dolar Amerika. Pada masa ini dolar Amerika lemah dan menunjukkan tanda-tanda akan menjadi lebih lemah. Ada juga ura-ura negara Asia Barat dan China akan menggunakan mata wang lain selain dolar Amerika disebabkan kelemahan dolar Amerika ini. Walaupun peralihan kepada mata wang selain dolar Amerika (euro misalnya atau mata wang bentuk baru) bukan sesuatu yang boleh berlaku dengan segera, berita itu telah cukup untuk melonjakkan harga emas dunia.



Faktor kedua ialah harga emas akan naik selari dengan kadar inflasi global. Apabila inflasi naik, harga emas akan naik selaras dengan inflasi. Dalam keadaan negara-negara di dunia termasuk kuasa-kuasa ekonomi besar menyuntik pakej rangsangan ekonomi dengan besar seperti AS$787 bilion pakej rangsangan Amerika Syarikat kesannya ialah peningkatan inflasi. Amerika hanya mengecap duitnya sesuka hati dan ini akan menyebabkan nilai duitnya akan turun.

Faktor ketiga ialah kenaikan harga petroleum akan menyebabkan harga emas naik selari dengan kenaikan kos penghasilan dan penghantaran barangan, jika harga petroleum jatuh. dijangka emas juga akan turun tetapi pada tahap minimum.

Namun,jika anda adalah peminat emas serta berminat menjadikan emas sebagai medium pelaburan tetapi tidak pandai membaca kesan fenomena naik turun ini maka saya mencadangkan anda membeli emas apabila anda mempunyai wang simpanan lebihan. Tukar medium simpanan daripada berbentuk matawang kepada emas kerana kesan kenaikan nilai emas ini sudah terbukti dalam tempoh jangkamasa panjang.




Selasa, 29 Disember 2015

EMAS-BELI,SIMPAN DAN NIAGAKAN

Assalamualaikum....

Apa khabar ibu-ibu yang semakin sibuk dengan persiapan persekolahan anak?

Saya juga sama seperti anda. Namun dalam kesibukan itu saya cuba juga cari masa 'update' blog demi komitmen saya untuk terus menulis.

Disini saya kongsikan RAHSIA TOKEY EMAS dari mentor usahawan yang membawa saya untuk terus yakin seperti sekarang. Terima Kasih tuan Mustafa Robani.

Ilmu ini bukan semua orang tahu. Rugi jika tak baca!!



šŸ’„RAHSIA TOKEY EMASšŸ’„

Secara amnya kebanyakan tokey kedai emas mengamalkan formula 3P 

iaitu Penyimpan, Pelabur dan Peniaga.

Mereka menyimpan emas kemudian mereka juga bertindak sebagai pelabur dengan membeli semasa harga emas rendah dan mengaut keuntungan bila harga emas naik bila menjual emas tersebut kepada pelanggan.

Di sini mereka menyimpan, melabur sambil berniaga. Maksudnya mereka menyimpan sesuatu barang/benda untuk kepentingan mereka sendiri (malah nilai benda yang disimpan sentiasa meningkat) disamping menjualnya kepada orang ramai jika ada permintaan.

Kebanyakan orang bercita cita untuk menjalankan perniagaan sendiri kerana kita sering mendengar hadis yang mengatakan 9/10 rezeki adalah dari bidang perniagaan. Namun tidak ramai yang ‘mampu’ menikmatinya atas pelbagai alasan. Ramai yang ingin mencapai ‘financial freedom’ tetapi tidak sanggup membayar ‘harga’nya.
Ramai yang mencari jalan mudah, ringkas dan cepat. Mereka cukup taksub dengan konsep 4D (Duduk Diam Dapat Duit). Malah saya sendiri sering ditanya soalan seperti berikut:

"Kalau saya beli emas dengan syarikat puan boleh jadi kaya ke?”
”Berapakah pendapatan bulanan saya jika saya membeli RM 10K emas fizikal”.

Setahu saya tiada seorang pun jutawan tulen di Malaysia yang mencapai tahap jutawan dengan cara begitu mudah.
Bagi saya, selidik dengan teliti sebelum menyertai mana-mana peluang perniagaan atau pelaburan. Jangan pandang pada janji-janji manis tetapi pandang pada fakta-fakta yang sahih melalui kajian. Untuk formula 3 P yang diamalkan oleh tokey-tokey kedai emas iaitu penyimpan, pelabur dan peniaga saya sarankan anda menyelami maksud yang tersurat dan tersirat apa yang di maksudkan dengan

“kita menyimpan sesuatu barang/benda yang sentiasa meningkat nilainya kemudian menjualnya kepada orang lain bila ada permintaan”.

Inilah dinamakan Laba Emas
Salah satu barang/benda yang menepati kata kata di atas adalah emas fizikal kerana emas tiada tarikh luput atau ‘expiry date’ malah semakin lama di simpan semakin tinggi nilainya.
Patutlah emas dan perak di kenakan zakat. Malah dalam Al Quran, banyak ayat yang menyentuh perihal emas dan perak. Tingginya darjat emas bukan di dunia malah di syurga penghuninya juga di anugerahi dengan emas.

Berbalik kepada kisah rahsia tokey emas tadi, kalau emas yang mereka miliki tidak terjual sekali pun mereka tidak akan rugi kerana emas yang mereka miliki dianggap sebagai simpanan/aset untuk masa depan yang nilai sentiasa meningkat.




Ada yang mengeluh

“siapa nak beli emas kerana harganya yang makin mahal”.

Betul harga emas memang mahal dan akan bertambah mahal dari hari ke hari namun orang tetap membelinya terutama mereka yang celik emas. Perhatikan kedai kedai emas lain semakin banyak dan tidak pernah tutup walaupun pelanggannya tidak lah seramai pelanggan yang mengunjungi pasar malam.


Semoga jadi Amalam..BELI SIMPAN dan NIAGAKAN..(BSN)



Jumaat, 25 Disember 2015

PERMULAAN PERJALANAN DAKWAH

Teks : Zubedah Jaafar
Foto : Goggle


BISMILLAH...

Proses mengenali bahawa adakah kita layak menggelar diri sebagai pendakwah atau tidak sebenarnya berlaku secara alami dalam diri semua insan. 


Kita takkan mampu menjadi pendakwah jika kita hanya melihat sudut dakwah itu dalam satu ruang lingkup kecil. Harus digelar ustaz,imam, bilal, dan belajar sekolah atau keluar dari universiti dalam bidang agama sahaja baru boleh jadi pendakwah.

Semua pernyataan dan anggapan itu tidak benar sama sekali.

Imam hassan al-basri pernah berkata :

"Sesungguhnya aku sedang menasihati kamu bukanlah beerti aku yang terbaik di kalangan kamu, bukan juga yang paling soleh di kalangan kamu, kerana aku juga pernah melampaui batas pada diri sendiri, seandainya seseorang itu hanya dapat menyampaikan dakwah apabila dia sempurna nescaya tidak akan ada pendakwah.
Maka akan jadi sikitlah orang yang akan memberi peringatan"

Kata-kata ini besar maknanya pada saya untuk memulakan proses perjalanan dunia baru sebelum Allah menjemput kembali.

Dalam proses saya menilai diri,mengenali matlamat hidup saya tersentap lagi apabila di beri petunjuk Allah untuk membaca buku Allah loves Me, karya Jerry D Gray.



Tuan Jerry ini seorang warga Amerika yang diberi hidayah oleh Allah masuk Islam sesudah mengalami pelbagai ranjau dan ujian dari Allah. Kata-kata yang paling saya ingati ialah " Allah telah menyediakan plan Nya untuk saya dari semua ini". 


Begitulah yang berlaku dalam kehidupan saya. Walau saya dilahirkan dalam agama Islam kita selalunya tidak mengamalkan Islam sebagai cara hidup kita yang menyeluruh. Kita hanya belajar kewajipan wajib dan selalu mengambil ringan hal-hal kecil. 

Khutbah terakhir Rasulullah sudah mengingatkan kita akan hal yang akan terjadi di akhir zaman.

"Berwaspadalah terhadap syaitan demi keselamatan agama kamu. Dia telah berputus asa untuk menyesatkan kamu dalam perkara-perkara besar, maka berjaga-jagalah supaya kamu tidak mengikutinya dalam perkara-perkara kecil.

Saya seorang yang terlalu suka ingin menonjol sehingga sentiasa melibatkan diri dalam aktiviti nyanyian,tarian, persembahan muzik dan pelbagai aktiviti kebudayaan sedangkan Allah telah tetapkan ia tidak bersesuaian dengan fitrah saya. Alhamdulillah, semua aktiviti itu kandas di tengah jalan dan akhirnya saya banyak dibantu Allah dalam aktiviti kepimpinan islami seperti menjadi AJK Ibadah dan diberi peluang menjadi Imam dikalangan jemaah wanita. 

Namun, konflik jiwa,dorongan nafsu,hasutan syaitan tidak akan pernah berhenti bermain dalam diri kita. Semua proses ini mengalami naik turun. Almaklum ayat yang selalu saya gunakan ialah ' Iman kita iman orang awam'. 

Akhir-akhir ini bila anak-anak semakin membesar dan perkembangan kehidupan sosial di luar yang amat menakutkan menyebabkan saya perlu mengambil sikap untuk total berubah. Pembentukan akhlak dan sahsiah anak-anak harus dimulai dari kita sebagai ibu bapa. Perjuangan dakwah harus diteruskan. Paling kurang menyelamatkan anak-anak saya dari pengaruh sosial negatif dan untuk konsisten dalam perjalanan ini saya harus menyelami jiwa dakwah setiap hari samaada dalam percakapan,pergaulan mahupun penulisan. 

Perkongsian dakwah harus diteruskan walau sesukar mana proses mujahadah ini akan disulami ujian dan cabaran. Sudah namanya manusia,pasti akan ada yang suka dan juga yang membenci. 

Rasulullah pernah berpesan,

“sampaikanlah dariku walau hanya sepotong ayat”

Masih banyak lagi kekurangan yang perlu diperbaiki dalam proses ini. Sambil menyampai sambil terus belajar memperbaiki diri dengan guru-guru yang berpengalaman, membaca pelbagai jenis buku dakwah dan mendengar ceramah-ceramah dan pesanan agama. 

Semoga usaha kecil ini dinilai besar oleh Allah dalam persiapan kita menghadapi hari pengadilan di hadapan mahkamah Allah kelak. 


Khamis, 24 Disember 2015

BERNIAGALAH SEKALIPUN TELAH KAYA

Teks: Zubedah jaafar
Foto : Google

Assalamualaikum,

Rasanya belum terlewat untuk saya mengucapkan Salam Maulidur Rasul buat semua umat islam di seluruh dunia. mahupun bagi yang belum memeluk islam. Semoga sinaran purnama Nabi Muhammad S.A.W akan menjadi asbab hidayah buat mereka.

Banyak yang belum saya kongsikan berkaitan hidup saya dalam membina jaringan persahabatan melalui online. Saya akan lebih fokus kepada berkongsi tentang bisnes dan dakwah kerana minat dan kekuatan yang akan saya terus bina dalam jiwa saya sehingga akhir hayat adalah dalam dua bidang ini.

BISNES

Bila dibaca dari entri awal memang asal nya ayah saya seorang yang suka berbisnes kecil-kecilan. kerja rencam yang dilakukan untuk membesarkan kami 10 beradik adalah dengan menarik beca dan menjual Air Batu Campur disamping menguruskan kebun dan menjual hasil-hasil kebun.

Lama kelamaan,hasil dari simpanan sedikit-demi sedikit,beliau membeli banyak tanah untuk dibuat kebun. Pisang,durian dan sayur-sayur kampung mudah didapati di kebun dan dijadikan hasil jualan yang agak lumayan.

Sikap ini terbawa-bawa kepada anak-anak. Dimana semasa kecil lagi kami selalu menjual kuih di hadapan rumah apabila tiba ramadhan, menjual ABC, menjual buah-buahan tempatan dan apa saja yang mampu menghasilkan pendapatan sampingan.

35 tahun baru saya sedari keupayaan diri saya yang selalu menjalankan perniagaan secara separuh masa adalah hasil dari asuhan ini.




Kita merancang Allah merancang. Perancangan Allah itu adalah perancangan yang paling terbaik. Walau terjunnya saya dalam dunia usahawan jauh berbeza dari perancangan wanita-wanita lain yang mempunyai persediaan rapi dari segi mental dan fizikal dalam memikirkan perihal meletak jawatan dan memilih untuk berniaga, tiada istilah penyesalan dalam saya menerima taqdir ini.

Buat pertama kalinya, saya tidak pernah terfikir untuk memutar balik perjalanan kerjaya saya untuk memohon kerja kerajaan atau badan swasta. Saya bersemangat untuk berjuang bersama rakan seperniagaan saya sehingga kami mencapai kejayaan yang diinginkan dalam proses membina legasi perniagaan.

'NO REGRET,NO SURRENDER'



KENAPA BISNES?
peniaga yang bebas
Perkara pertama saya pelajari selama setahun sepenuh masa berbisnes ialah tahap pergantungan pada makhluk hapus sama sekali. Allah penguasa maha kaya tempat orang bisnes meminta, mengadu dan mengharap. Memohon agar dibantu dalam setiap kejatuhan, dan jangan lagi tersalah jalan dalam setiap kebangkitan. 
Benar kata orang, orang bisnes bebas menyusun hidup mereka sendiri. Tanpa ramai yang sedar, kebebasan itu harus diatur dengan baik. Bebas untuk tidur di pejabat 24 jam bagi memikirkan solusi masalah yang hadir setiap hari,bebas untuk menjadi apa yang kita perlu jadi demi kelansungan bisnes. Kita la bos,kuli,pencuci pejabat,penghantar surat dan kita ibarat pelakon yang hebat dalam drama kita sendiri. 
Namun, faktor inilah yang menjadikan bisnes itu pekerjaan yang hebat. Orang bisnes bebas dari konkongan hidup biasa-biasa. Melakukan ritual harian yang akhirnya membosankan dan mengurangkan kualiti pekerjaan seharian. 
Perasaan takut dipantau, melakukan kerja hanya atas arahan dan terpaksa adalah suatu kepuasan yang jauh berbeza dalam bisnes. Bisnes adalah kualiti. Bila kita melakukan dengan jalan yang terbaik,hasilnya pasti terbaik. 
Sudah pasti, dalam keadaan ekonomi Malaysia yang tidak menentu, faktor celik bisnes ini semakin menular di kalangan orang melayu. Kerana itu saya mengambil keputusan untuk menulis. Berkongsi pengalaman dalam dunia kecil bisnes ini sambil terus belajar dengan mentor-mentor bisnes hebat melalui pembacaan blog,perkongsian fb dan menghadiri seminar-seminar. 

Apa kaitan pula dengan DAKWAH?
Jumpa di entri berikutnya.....
Senyum Selalu....

Rabu, 23 Disember 2015

5 Fakta Sebenar Tentang Bisnes Emas

Teks : Zubedah Jaafar
Foto dan Sumber : Google


Mengapa emas begitu berharga?


Tidak dinafikan propaganda berkaitan kehebatan emas ini sudah dicetak dalam minda manusia sejak zaman berzaman. Dalam sejarah panjang umat manusia, diceritakan bahawa emas sudah mulai dikenal manusia sejak 40.000 sebelum masihi, iaitu zaman manusia Paleolitik. Sejarah juga menunjukan bahawa sejak ribuan tahun sebelum masihi emas sudah dijadikan perhiasan dan alat tukar dalam banyak peradaban kuno.
Sehingga pada zaman permulaan Islam, emas sudah menjadi sebahagian dari masyarakat dunia, dan dalam Islam emas menjadi sebahagian dari matawang yang disebut dengan dinar dan dirham. Dinar dalam bentuk emas, dan dirham dalam bentuk perak. Hal ini banyak disebut-sebut dalam hadits dimana ketika Rasulullah SAW mendengarkan suatu pertanyaan atau memutuskan suatu perkara.
Misalnya: Dari Abu Hurairah RadhiyallĆ¢hu ‘Anhu. berkata, Rasulullah SAW bersabda: “dinar (harta) yang kamu belanjakan di jalan Allah dan dinar (harta) yang kamu berikan kepada seorang budak wanita, dan dinar yang kamu sedekahkan kepada orang miskin serta dinar yang kamu nafkahkan kepada keluargamu. Maka yang paling besar ganjaran pahalanya adalah yang kamu nafkahkan kepada keluargamu” (HR Shahih Muslim 1661).

Namun begitu, disebabkan emas sebagai matawang telah digantikan posisinya oleh wang kertas maka emas sekarang dijadikan sebagai perniagaan dan alat pelaburan yang bernilai tinggi.

Walaupun begitu, disebabkan kehebatan emas ini ramai orang Melayu amnya tidak berani mengambil risiko untuk menjadikan emas sebagai perniagaan. Perniagaan emas banyak dimonopoli oleh orang Cina dan India. Orang Melayu pula kebanyakannya adalah dari negeri Timur Malaysia iaitu Kelantan dan Terengganu.



5 Fakta sebenar tentang bisnes emas


Berdasarkan pengalaman 5 tahun saya berkecimpung dalam perniagaan emas, ini adalah fakta sebenar yang saya dapat kongsikan untuk membuka mata anda semua berkaitan bisnes emas :

1. Bisnes emas sama juga dengan apa jua bisnes produk lain. Ia tidak memerlukan modal yang besar untuk bermula. Ada kedai-kedai emas yang membuka peluang bisnes 'dropship' samaada secara PERCUMA atau dengan modal minima sebagai syarat keahlian. Sebagai contoh : Kedai Emas EET di Cheras, menawarkan peluang 'dropship' hanya serendah RM250 dengan mendapat GB999.9 1g percuma. Dengan keahlian ini, peniaga boleh memulakan perniagaan emas tanpa kedai secara separuh masa atau sepenuh masa. 



2. Modal untuk membuka sebuah kedai emas juga sebenarnya tidak jauh berbeza dari membuka sebuah butik atau sebuah kedai makan. Ramai yang tidak tahu modal membuka kedai emas lebih kecil dari modal membuka franchise sebuah makanan segera. Apa yang menarik dan berbeza dari perniagaan lain ialah kedai emas tidak hanya menawarkan sebuah produk untuk jualan malah menakjubkan modal kedai emas adalah sebuah aset jika tiada jualan. Peniaga emas masih menyimpan nilai modal anda dalam bentuk EMAS. Menarik kan??


3. Bersamaan dengan fakta nombor 2, menjadi penyebab kenapa saya kekal menjual emas hampir 5 tahun berbanding produk lain seperti tudung dan produk kesihatan. Apabila menjual produk, ianya perlu dihabiskan untuk menjana pendapatan. Jika tidak habis,produk menjadi stok yang tidak terjual. Berlawanan dengan emas. Tanpa jualan anda boleh menjadikan emas sebagai simpanan masa hadapan. Bila sesak, boleh tukarkan dengan wang melalui pajakan dan tebus semula bila sudah ada wang. 





4. Takut bisnes emas kerana berisiko tinggi. Emas adalah satu medium bisnes halal yang memerlukan keberanian untuk menjual. Jika terlalu berat memikirkan risiko maka semua apa yang kita buat adalah risiko. Baru-baru ini, bila kumpulan saya bermesyuarat bersama satu yayasan di Terengganu, Dato pengarahnya berkata menjual ganja juga berisiko. Jual ganja takut polis, jual emas takut pencuri. Yang membezakannya hanya HALAL dan HARAM. Maka, tepuk dada tanya iman. 



5. Sukar untuk menjual emas kerana harganya MAHAL. Zaman ini pelbagai cara kreatif dilakukan supaya ramai orang boleh menjual emas dengan modal minima. Antaranya dengan mula menjual hanya sekecil 1 gram. Jika sekarang ramai wanita boleh membeli baju atau tudung dengan harga beratus-ratus ringgit,masakan tidak boleh membeli emas yang boleh dijual kembali dengan harga serendah rm200? 
Hanya perlu diberikan kesedaran simpanan emas sebagai aset. Bila dibina kesedaran, menjual emas amat mudah dilakukan untuk pembeli-pembeli yang kini semakin bijak berfikir. 


Ahad, 20 Disember 2015

PELAJARAN DARI SEBUAH KEMATIAN

Teks : Zubedah Jaafar
Foto : Google

Beberapa hari ini kita dikejutkan dengan berita seorang ustaz bersama isteri dan 3 anaknya meninggal di bawa arus deras air terjun sewaktu bercuti. Peristiwa menyayat hati ini mana mungkin tidak menjadi satu episod penting dalam hidup kita tentang sebuah persediaan menghadapi pengakhiran hidup kita juga. 



Dalam proses kehidupan melalui pelbagai halangan dan cubaan,saya pasti bukan sahaja anda malah saya sendiri selalu tertanya-tanya tentang bagaimanakah kita mahu hidup kita berakhir?


Semua persoalan ini selalu diabaikan sebab bila kita hanyut dalam kesibukan dunia dan tidak sedar kita semakin dekat kepada pengakhiran hidup. Saya mula memikirkannya kembali hanya setelah 36 tahun bergelumang dalam pelbagai keadaan untuk mencapai titik KEJUTAN INI. Hanya sebuah kejatuhan,kesakitan dan penderitaan yang panjang sahaja mampu membuat kita berfikir. 





Sebelum ini saya pernah melalui hidup seperti 'dunia ini ana yang punya'. Duit,kesenangan, bercuti kesana-sini seperti mudah buat saya. Dan kesenangan itu membawa saya lupa pada diri saya seketika. Saya tidak meninggalkan ibadah wajib,namun saya semakin jauh dari Allah. 

Sedangkan bila direnung kembali Allah telah memberi saya keistimewaan berbeza dari orang lain. Walau saya tidak mendapat pendidikan formal di mana-mana sekolah agama, tetapi fahaman saya berkaitan agama lebih besar berbanding orang lain. Bukankah itu satu tanda cinta Allah kepada saya? 


Rasulullah S.a.w bersabda, maksudnya : “Apabila Allah mencintai seseorang maka Dia membuatnya faham mengenai agamanya.” [Hadits Riwayat al-Bukhari dan Muslim]

Mengalir air mata bila merasakan saya telah mensia-siakan seluruh cinta ini. 

Perjalanan kini menjadi satu permulaan. Saya perlukan  ia kembali asal bukan semata-mata untuk memperbaiki kehidupan sendiri. Malah,lebih penting saya mahu semua ini dibaca oleh anak-anak saya dan sesiapa saja yang sedang berjuang dalam perjalanan seperti saya. 

Kita wanita,sentiasa terumbang ambing dalam emosi dan kekalutan. Namun,Allah telah membina kekuatan luar biasa dalam kita mengharungi dunia ini. Dunia yang semakin penghujung memerlukan kekuatan wanita untuk memimpin. Allah telah tunjukkan kembali jalan dakwah yang sebenar. Dan...........

Kembali muhasabah diri. Semoga Allah sentiasa bersama kita.